Mission News

PERUTUSAN TAHUN BARU CINA DARIPADA KONSUL-JENERAL MALAYSIA DI PERTH, W.A.

13 January 2012 1 views

 

Tahun Baru Cina ialah acara tahunan musim bunga yang dinanti – nanti oleh kaum Cina di seluruh dunia. Di Malaysia perayaan Tahun Baru Cina agak unik, kerana ia disambut bersama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti di dalam sebuah keluarga, tidak kira bangsa, agama atau kebudayaan.

 

Tahun Baru Cina disambut dengan gembira oleh semua lapisan masyarakat tidak kira yang muda atau tua dan terutama oleh mereka yang belum berkahwin, kerana pada masa ini mereka akan menerima “Ang Pow” daripada ibu bapa, sanak saudara dan rakan-rakan yang telah berkahwin. Semasa saya masih kanak-kanak, saya juga menanti dengan penuh harapan untuk mendapat “Ang Pow” daripada ibu – bapa kawan – kawan yang saya ziarahi semasa Tahun Baru Cina. Saya juga bermain mercun dan menonton tarian singa bersama kawan – kawan saya. Di Malaysia, orang – orang Cina akan menikmati hidangan “Yee Seng” yang melambangkan usia yang panjang. Pada hari ke lima belas, orang – orang Cina juga menyambut perayaan “Chap Goh Meh” yang menandakan tamatnya perayaan Tahun Baru Cina.

 

Seperti di tanah air, Tahun Baru Cina disambut bersama dengan meriah oleh rakyat Malaysia di Perth. Saya merasa gembira kerana semangat setiakawan dan muhibah wujud di kalangan rakyat Malaysia di Perth. Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya terus hidup dengan harmoni dan bersatu, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk mewujudkan “SATU MALAYSIA: RAKYAT DI DAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN”.

 

Tahun Baru Cina pada tahun ini merupakan Tahun “Naga”. Seperti yang kita ketahui, “Naga” ialah sejenis haiwan dongeng. Sebagai lambang kepada tuah yang baik dan kekuasaan, Naga merupakan haiwan yang istimewa – yang melambangkan kebahagiaan dan kejayaan. Orang timur percaya bahawa Naga membawa tuah yang baik dan kekuasaan.  Justeru, orang yang lahir di dalam tahun Naga wajar dihormati dan disegani.

 

Bagi pihak semua pegawai di Konsulat Jeneral Malaysia di Perth, Australia Barat, dan dalam semangat “1Malaysia” saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina  kepada semua rakyat dan pelajar Malaysia yang menyambut perayaan ini.

 

Semoga Tahun Baru “Naga”” ini membawa kedamaian dan kesejahteraan kepada negara dan semua rakyat Malaysia di Perth dan juga di Malaysia.

 

“SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA”

“GONG XI FA CAI”

 

 

HAMIDAH ASHARI

Konsul – Jeneral Malaysia

Perth, W.A.

 

12 Januari 2011

 

Share:
Link copied to clipboard
Back