Kapal tentera Laut Diraja Malaysia, KLD TUNAS SAMUDERA yang kini sedang belayar mengelilingi dunia, telah tiba dan berlabuh di Perlabuhan Fortaleza, negeri Ceara, Brazil pada 11hb Oktober 2007. Kapal tersebut berada di sana selama 5 hari.
Turut bersama di Fortaleza bagi menerima kunjungan kapal tersebut ialah TYT Duta Besar dan isteri. Ketibaan anak-anak kapal lebih bermakna kerana ia jatuh pada Hari Raya Aidilfitri yang telah disambut pada hari Jumaat 12 Oktober 2007. TYT Duta Besar dan isteri sempat bersembahyang raya dengan anak-anak kapal di atas kapal tersebut.
Satu majlis juga telah diadakan di atas kapal untuk para tetamu dari kalangan pegawai kerajaan tempatan Fortaleza termasuk anggota-anggota tentera laut tempatan. Di majlis tersebut tetamu-tetamu telah dihidangkan dengan masakan Malaysia, dengan satu persembahan kebudayaan dari anak-anak kapal sebagai acara kemuncak. Semasa di Fortaleza, anak-anak kapal juga berpeluang mengadakan pertandingan persahabatan bola sepak dengan anggota tentera laut Brazil.
TYT Duta Besar juga mengambil kesempatan semasa berada di Fortaleza untuk membuat beberapa pertemuan khususnya dengan Gabenor Ceara, Datuk Bandar Fortaleza, dan Board of Directors of Federation of Industries of Ceara.
Ini merupakan kunjungan pertama TYT Duta Besar ke negeri Ceara. Pertemuan ini telah mengeratkan lagi hubungan diantara Malaysia dengan negeri Ceara. Ianya juga telah memberi peluang untuk Duta Besar bertukar pandangan dengan pihak-pihak penting di Ceara dan mengetahui dengan lebih dekat lagi perkembangan ekonomi negeri itu. TYT Duta Besar juga telah mengenalpasti peluang-peluang pelaburan dan perdagangan untuk Malaysia. Turut bersama dipertemuan-pertemuan ini ialah Encik Khairul Anuar Abdul Halim, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Brazil.
Tarikh: 22 Oktober 2007