PENGHANTARAN PULANG JENAZAH MANGSA KEMALANGAN DI JORDAN
26 JANUARI 2016
Susulan daripada kemalangan jalan raya di Mafraq, Jordan pada 23 Januari yang lalu yang mengorbankan 3 orang pelajar Malaysia, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar pada 26 Januari 2016 (sekitar pukul 9.00 malam waktu Malaysia) di Masjid Muhafazah Jamiah Al-Quran, Amman.
Mangsa-mangsa yang terkorban adalah Fatin Ikmal Idziyani binti Che Aziz, Hana’ binti Azhar, dan Al Najiatun Nailah binti Mohd Safie, kesemuanya pelajar tahun 3 Universiti Mu’tah. Jenazah mereka dijadualkan untuk dibawa pulang pada jam 1.30 pagi (7.30 pagi waktu Malaysia), 27 Januari 2016 dengan pesawat Royal Jordanian RJ184. Mereka dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada jam 4.25 petang pada hari yang sama.
Jenazah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz akan diterima oleh waris beliau di Kuala Lumpur, di mana solat jenazah akan diadakan di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah. Jenazah kemudian akan dibawa ke Lenggong, Perak untuk dikebumikan.
Sementara itu, jenazah Hana' binti Azhar dan Al Najiatun Nailah binti Mohd Safie, dijadualkan untuk dibawa pulang ke Kota Bharu dari KLIA dengan pesawat MH1402 pada jam 6.25 petang.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
26 Januari 2016