Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan 26 September 2020 (Sabtu) sebagai Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16. Dalam perkara ini, SPR akan meneruskan kemudahan mengundi secara pos bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara bagi maksud PRU DUN Sabah Ke-16.
Untuk tujuan ini, permohonan undi pos boleh dilakukan menggunakan Borang 1B (Pengundi Luar Negara) yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang SPR www.spr.gov.my sehingga 03 September 2020. Pemohon bagi kategori ini juga adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang ditetapkan oleh SPR seperti berikut:
- merupakan seorang pemilih berdaftar;
- bermastautin di luar negara kecuali di Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia; dan
- pernah berada atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran DUN Sabah Ke-15, iaitu pada 31 Julai 2020.