Mission News

PRESS RELEASE ON THE ACCIDENT INVOLVING MALAYSIAN STUDENTS IN MAFRAQ, JORDAN ON 23 JANUARY 2016

01 February 2016 1 views

 KEMALANGAN MELIBATKAN PELAJAR MALAYSIA DI MAFRAQ, JORDAN

23 JANUARI 2016

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan terdapat lima (5) orang pelajar Malaysia dari Universiti Mu'tah, Jordan telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Safawi, tidak jauh dari bandar Mafraq di utara Amman, Jordan pada pagi Sabtu, 23 Januari 2016.

 

Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu dan dinaiki para pelajar universiti berkenaan yang dalam sesi lawatan dilanggar oleh sebuah kenderaan dari arah bertentangan. Kejadian telah mengorbankan tiga orang pelajar manakala dua lagi pelajar cedera. Mereka yang cedera menerima rawatan awal di Hospital Mafraq.  Urusan pemindahan pelajar yang cedera ke Amman sedang diuruskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Jordan.  Semua waris pelajar telah dihubungi dan urusan-urusan berkaitan sedang diatur oleh pihak Kedutaan.

 

Pelajar-pelajar yang meninggal dunia adalah Fatin Ikmal Izyani binti Che Aziz, Hana' binti Azaha, dan Al Najiatun Nailah binti Mohd. Shafie. Pelajar-pelajar yang cedera adalah Fatin Nor Syahirah binti Ramli dan Izam Hasif.  Kesemua mereka adalah pelajar tahun tiga. Kementerian Luar Negeri mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dengan kemalangan ini.

 

Susulan daripada kemalangan ini, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan menyampaikan penghargaan atas kerjasama dan bantuan yang diberi oleh Kerajaan Jordan, terutamanya pihak Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan, Menteri Kesihatan, Universiti Mu'tah, Universiti Al Albayt, Hospital Kerajaan Mafraq, polis trafik Mafraq, Persatuan Pelajar Malaysia Mu’tah (PERMATA), Persatuan Pelajar Malaysia Mafraq (PRISMA), serta para pelajar Malaysia di Mu’tah, Mafraq dan Irbid secara umumnya.

 

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

24 Januari 2016

Share:
Link copied to clipboard
Back