HARI KEDUA LAWATAN RASMI DR. ZAMBRY ABD KADIR, MENTERI LUAR NEGERI KE ARAB SAUDI
HARI KEDUA LAWATAN RASMI DR. ZAMBRY ABD KADIR,
MENTERI LUAR NEGERI KE ARAB SAUDI
Pertemuan dengan Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan, Menteri Luar Negeri Arab Saudi
Salah satu tujuan utama lawatan sulung saya ke Arab Saudi adalah untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan, Menteri Luar Negeri Arab Saudi. Alhamdulillah pertemuan ini telah berlangsung dengan penuh harmoni dan mesra.
Saya dan Yang Mulia senada dalam usaha kami untuk terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara bersaudara ini. Antara intipati perbincangan kami adalah :
- Kedua-dua negara bersetuju untuk memuktamadkan rundingan dengan segera bagi menginstitusikan Majlis Koordinasi Malaysia – Arab Saudi (SMCC) yang akan menjadi platform utama kerjasama dua hala di masa hadapan.
- Mempertingkatkan lagi jumlah dagangan dua hala. Jumlah ini telah pun menunjukkan peningkatan drastik akhir-akhir ini dan kami berdua sepakat untuk melipatgandakan lagi usaha ke arah ini.
- Sebagai koordinator untuk hubungan ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia menyatakan komitmen untuk membantu merealisasikan Sidang Kemuncak yang akan dihoskan oleh Arab Saudi pada tahun ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dua pertubuhan serantau ini.
- Mempertingkatkan lagi pertukaran lawatan di antara Malaysia dan Arab Saudi pasca pandemik bagi mengukuhkan kerjasama dua hala daripada pelbagai aspek. Ini termasuklah mencari ruang dan peluang melalui Visi Arab Saudi 2030 yang sememangnya merupakan satu agenda pembangunan yang sangat baik untuk sama-sama diterokai.
- Saya telah menyampaikan penghargaan kepada pihak Arab Saudi di atas bantuan yang disampaikan kepada kita sewaktu COVID-19 melanda dunia.
- Saya juga menyampaikan penghargaan negara atas keutamaan dan layanan istimewa yang diberikan oleh Arab Saudi kepada Malaysia untuk urusan haji dan umrah. In shaAllah kuota haji kepada Malaysia tidak akan dipotong dan kemungkinan besar akan ditambah.
Saya percaya pertemuan ini telah membuka lembaran baru bagi hubungan kedua- dua negara. Arab Saudi kekal sebagai sahabat karib Malaysia dan Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk terus menerokai setiap peluang yang ada untuk membawa hubungan istimewa ini ke tahap yang lebih tinggi. Pihak kerajaan Arab Saudi juga menyatakan bahawa mereka amat mengalu-alukan lawatan rasmi YAB Perdana Menteri dalam waktu terdekat.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
21 Februari 2023