Speeches & Statements

LAWATAN KERJA KE LONDON, UNITED KINGDOM (13 – 15 MAC 2023)

16 March 2023 1 views

LAWATAN KERJA KE LONDON, UNITED KINGDOM (13 – 15 MAC 2023)

 

Pertemuan Menteri Luar Negeri bersama Menteri Luar Negeri Sri Lanka di London

Saya sempat mengadakan pertemuan dengan TYT M.U.M Ali Sabry, Menteri Luar Negeri Sri Lanka yang turut berada di London bagi menghadiri mesyuarat yang sama. Kami senada di dalam usaha untuk terus meningkatkan hubungan baik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak sekian lamanya.

Kami percaya masih banyak peluang dan ruang untuk penambahbaikan terutamanya di dalam aspek pelaburan. Menurut beliau, Malaysia adalah antara penyumbang utama di dalam pembangunan sektor telekomunikasi di Sri Lanka.

Dengan ini, banyak lagi bidang-bidang pelaburan baru yang boleh diterokai secara bersama di Sri Lanka seperti pembangunan pelabuhan, industri hospitaliti dan industri penapisan petroleum. Perkara-perkara ini akan terus diperhalusi melalui mekanisme Rundingan Dua Hala di antara Malaysia dan Sri Lanka.

Malaysia dan Maldives Meraikan Ulangtahun ke-55 Penubuhan Hubungan Diplomatik : Kedua-dua Negara Mahu Meneroka Bidang Pelancongan dan Kebudayaan Dua Hala

Selain itu, saya juga berkesempatan untuk bertemu dengan rakan sejawat saya dari Maldives, TYT Abdulla Shahid di London.

Pada tahun ini, Malaysia dan Maldives meraikan ulangtahun ke-55 penubuhan hubungan diplomatik. Sejak 1968, hubungan dua hala kita semakin kukuh dengan Maldives di atas faktor kesamaan nilai budaya dan agama.

Semasa pertemuan ini, kami telah membincangkan pelbagai perkara terutamanya usaha untuk meningkatkan ketersambungan bagi mengeratkan hubungan dan merancakkan interaksi di antara rakyat Malaysia dan Maldives.

Saya juga telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Maldives di dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.

Selain itu, kami juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu-isu global dan rantau yang berkepentingan bersama. Kami sependapat bahawa Malaysia dan Maldives harus terus bekerjasama rapat bagi menjaga keamanan dan kestabilan rantau ini.

Perjumpaan bersama Diaspora Malaysia di London, Berkongsi Idea dan Dasar Baharu Kerajaan Perpaduan

Saya mengambil ruang dan peluang yang ada dengan mengadakan pertemuan bersama rakyat Malaysia yang berada di London dan datang daripada pelbagai latar belakang.

Kami berbincang dan berinteraksi mengenai pelbagai isu domestik dan hal ehwal luar negeri Malaysia. Ternyata, walaupun jauh dari kampung halaman, rasa patriotik dan cintakan negara tidak pernah pudar walau di mana pun mereka berada.

Mereka tetap memberikan pelbagai idea dan cadangan di dalam usaha bersamasama membangunkan negara. Cadangan-cadangan ini akan saya sampaikan kepada rakan-rakan Kabinet yang lain untuk kita sama-sama perhalusi.

Nasihat saya kepada mereka, jagalah diri dan keluarga baik-baik di negara orang dan tetaplah semangat mengibarkan bendera Malaysia walau di mana pun mereka berada.

 

Dr. Zambry Abd Kadir

MENTERI LUAR NEGERI

16 Mac 2023

Share:
Link copied to clipboard
Back