MAKLUMAT TERKINI SITUASI KONFLIK DI SUDAN DAN MAKLUMAT KEBERADAAN RAKYAT MALAYSIA
MAKLUMAT TERKINI SITUASI KONFLIK DI SUDAN DAN MAKLUMAT KEBERADAAN RAKYAT MALAYSIA
Wisma Putra mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain. Ini bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang berada di Sudan adalah terjamin selamat.
Konflik di Sudan berlaku melibatkan dua (2) pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF). Sehingga kini, jumlah rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti berada di Sudan adalah sebanyak 29 orang. Kesemua mereka dilaporkan selamat dan maklumat mereka adalah seperti berikut :
i. 11 pelajar;
ii. 3 Home Based Staff dan 8 ahli keluarga;
iii. 1 orang yang bekerja dengan Petronas;
iv. 1 orang yang bekerja dengan UNICEF;
v. 1 orang yang bekerja dengan PBB;
vi. 2 orang yang bekerja PBB di Wilayah Abyei;
vii. 1 orang yang bekerja di World Vision; dan
viii.1 orang yang bekerja di Hotel Lian Tian International.
Mesyuarat Antara Agensi telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Norman Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Hubungan Dua Hala, Kementerian
Luar Negeri pada Ahad, 16 April 2023, jam 9.30 pagi di Bilik Operasi Wisma Putra. Tujuan Mesyuarat diadakan adalah untuk mendapatkan maklumat terkini
situasi semasa di Sudan serta berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan terjamin semasa konflik
ini. Mesyuarat penyelarasan ini turut melibatkan MKN, KDN, JPM Bahagian Penyelidikan, NADMA, PDRM dan PETRONAS.
Bilik Operasi 24 jam juga telah dilancarkan di Wisma Putra bagi memantau keadaan semasa kejadian di Sudan. Selain itu, komunikasi berkumpulan melalui
WhatsApp turut dilakukan.
Kepada rakyat Malaysia yang berada di sana, dinasihatkan ambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara waktu. Mereka boleh berhubung terus dengan Pihak Malawakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
17 April 2023