Speeches & Statements

MESYUARAT LUAR BIASA TERGEMPAR JAWATANKUASA EKSEKUTIF PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) PERINGKAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI BAGI MEMBINCANGKAN ANCAMAN KETENTERAAN REJIM ISRAEL YANG BERTERUSAN KE ATAS RAKYAT PALESTIN DI JEDDAH, ARAB SAUDI

19 October 2023 1 views

 

MESYUARAT LUAR BIASA TERGEMPAR JAWATANKUASA EKSEKUTIF

PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC) PERINGKAT MENTERI-MENTERI

LUAR NEGERI BAGI MEMBINCANGKAN ANCAMAN KETENTERAAN REJIM

ISRAEL YANG BERTERUSAN KE ATAS RAKYAT PALESTIN

DI JEDDAH, ARAB SAUDI

 

Saya berada di Jeddah, Arab Saudi bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Luar Biasa Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri untuk membincangkan serangan ketenteraan rejim Israel yang berterusan ke atas rakyat Palestin. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud, Menteri Luar Negeri Arab Saudi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif OIC.

Pada mesyuarat tersebut, saya telah menyampaikan Kenyataan Malaysia yang menggesa konflik Palestin-Israel dihentikan dengan kadar segera dan mendesak untuk menghentikan politics of dispossession, iaitu menyahkan hak dan tanah rakyat Palestin. Negara Anggota OIC, masyarakat antarabangsa dan negara-negara yang berpengaruh perlu mencari solusi ke arah ini. Saya juga telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong pembukaan laluan kemanusiaan (humanitarian corridor) untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Mesyuarat ini telah menerima pakai satu dokumen hasil yang mengutuk sekeras- kerasnya pencerobohan Israel terhadap Palestin. Dokumen ini juga menggesa agar pencerobohan Israel dihentikan serta-merta; pengepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza oleh Israel ditamatkan; dan menyeru negara-negara dan masyarakat antarabangsa untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin.

Malaysia turut mengecam secara serius insiden pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Utara Gaza, sehingga menyebabkan banyak kematian termasuk wanita dan kanak- kanak serta orang awam yang tidak bersalah. Perbuatan kejam ini jelas sekali bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia terus komited dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin. Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam mana-mana usaha antarabangsa bagi mengumpul dan menghulurkan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kepada rakyat Palestin.

Malaysia juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mencari kaedah terbaik untuk menghentikan konflik yang berlaku dan mencari penyelesaian masa kini dan masa hadapan rakyat Palestin agar lebih aman dan selamat.

 

Dr. Zambry Abd Kadir

MENTERI LUAR NEGERI

19 Oktober 2023

Share:
Link copied to clipboard
Back