MESYUARAT-MESYUARAT YB MENTERI LUAR NEGERI, MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN KE-56 12 JULAI 2023 (SESI PEMUKIMAN)
MESYUARAT-MESYUARAT YB MENTERI LUAR NEGERI, MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN KE-56 12 JULAI 2023
Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-56 (Sesi Pemukiman)
● Pada hari ini, saya telah menyertai Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-56 (Sesi Pemukiman). Antara topik utama yang dibincangkan di mesyuarat tersebut adalah mengenai situasi di Myanmar dan kemajuan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (Five-Point Consensus – 5PC).
● Malaysia telah menyuarakan keprihatinan akan keadaan yang sedang berlaku di Myanmar seperti serangan udara dan laporan-laporan berkaitan pembunuhan yang masih berterusan meskipun pelbagai usaha yang dilakukan ASEAN. ● Saya telah menyuarakan pendirian bahawa adalah mustahak untuk ASEAN mengutuk sekerasnya tindakan-tindakan sebegini dan bukan sekadar menyatakan keprihatinannya.
● Tindakan-tindakan sebegini oleh pihak junta tidak memberi penyelesaian, bahkan hanya menyemarakkan lagi masalah di negara tersebut. Sebagai contoh, rakyat Myanmar yang terkesan dengan situasi-situasi sebegini terpaksa berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain dan akan menjurus kepada permasalahan internally displaced persons. ● Saya turut menekankan supaya kenyataan yang lebih keras mengenai isu ini dimasukkan dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-56 (Joint Communique of the 56th AMM).
● Saya telah mendengar laporan dari rakan sejawat saya dari Thailand yang telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian menerusi perbincangan dan dialog semasa lawatan beliau ke Nay Pyi Taw baru-baru ini.
● Walau bagaimanapun, saya menekankan bahawa segala usaha perlulah berlandaskan 5PC dan proses serta mekanisme yang dipersetujui oleh ASEAN dan tidak seharusnya dilaksanakan secara bersendirian.
● Saya menyeru agar sekiranya ada lagi usaha-usaha sebegini yang dilakukan pada masa hadapan hendaklah dilaporkan kepada ASEAN sebagai salah satu bentuk usaha ke arah mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.
● Saya menekankan juga bahawa sesi libat urus yang diadakan dengan pihak Myanmar tidak bermakna bahawa ASEAN mengiktiraf pihak berkuasa Myanmar.
● Malaysia sekali lagi mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Indonesia atas kejayaan cemerlang sebagai Kepengerusian ASEAN.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
12 Julai 2023