PERKEMBANGAN TERKINI KONFLIK DI SUDAN
PERKEMBANGAN TERKINI KONFLIK DI SUDAN
Alhamdulillah, semalam, setelah membuat penilaian yang mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra, pegawai Kedutaan Besar kita di Khartoum telah berjaya membawa keluar dua (2) rakyat Malaysia dari tempat mereka ke lokasi selamat. Dalam operasi berkenaan, pegawai kita turut membantu membawa dua (2) warga Kanada, satu (1) warga Amerika Syarikat dan dua (2) warga United Kingdom (UK) dari kawasan berkenaan.
Saya ingin memaklumkan bahawa walaupun operasi ini amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan. Ia susulan daripada laporan terkini pertempuran antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) semakin meruncing di kebanyakan lokasi di Khartoum sepanjang masa.
Selain itu, operasi pemindahan berkenaan adalah sebagai langkah persediaan Kedutaan Besar kita mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak.
Seperti yang telah saya maklumkan sebelum ini, situasi di Sudan amat kompleks. Ia berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran. Gencatan senjata yang telah diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi mereka.
Marilah kita memanjatkan doa dan memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan-Nya.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
21 April 2023