SITUASI SEMASA DI SUDAN : PROSES MEMINDAHKAN RAKYAT MALAYSIA KE TEMPAT SELAMAT DAN PELAN EVAKUASI
InsyaAllah, esok semua umat Islam di Malaysia akan menyambut Syawal sebagai meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Dalam kemeriahan kita membuat persiapan menyambut Hari Lebaran esok, rakyat Malaysia di Sudan yang sedang menyambut Aidilfitri di tengah-tengah situasi yang amat sukar digambarkan. Seperti dalam Siaran Akhbar saya hari ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan konflik di Sudan akan reda.
Gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru kedua-dua pihak bertelagah agar melakukan gencatan senjata selama tiga (3) hari sempena sambutan Aidil Fitri, seperti sebelum ini, langsung tidak diendahkan. Malahan Sudanese Armed Forces (SAF) telah mengulangi pendirian tegas untuk tidak menghentikan tindakan ke atas Rapid Support Forces (RSF).
Hari ini, pegawai kita di Kedutaan Besar Malaysia akan meneruskan usaha membawa rakyat Malaysia ke kawasan selamat jika keadaan mengizinkan. Operasi ini walaupun berhadapan risiko yang amat tinggi, perlu diambil sebagai persediaan kepada proses membawa keluar kesemua rakyat kita dari Sudan kelak.
Pasukan Khas Ops Sudan telah memuktamadkan Pelan Evakuasi rakyat Malaysia di Sudan, sebaik terdapat windows of opportunity. Kita akan berusaha sedaya upaya memastikan proses evakuasi ini berjalan lancar dan kesemua rakyat Malaysia di Sudan akan kembali ke Malaysia dalam masa yang terdekat, InsyaAllah.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan warga kita di Sudan. Saya juga amat menghargai kesungguhan dan komitmen Pasukan Petugas Khas Ops Sudan dalam mengendalikan operasi yang amat sukar ini, di kala Syawal menjelma. Doa saya dan semua rakyat Malaysa, warga kita di Sudan ketika ini, dapat terus kekal tabah, sentiasa mendengar dan mengikuti nasihat pihak Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dari semasa ke semasa.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang akan menyambut hari lebaran ini. Semoga Syawal ini membawa seribu satu rahmat dan kemanisan buat kita semua, khususnya dengan kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air tercinta.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
21 April 2023