Speeches & Statements

WISMA PUTRA KOMITED DALAM MEMELIHARA KESELAMATAN DAN KEBAJIKAN RAKYAT MALAYSIA DI SUDAN

17 April 2023 1 views

WISMA PUTRA KOMITED DALAM MEMELIHARA KESELAMATAN DAN KEBAJIKAN RAKYAT MALAYSIA DI SUDAN

 

Wisma Putra menjunjung kasih di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

terhadap nasib dan kebajikan pegawai-pegawai Kedutaan Besar dan rakyat Malaysia di Sudan berikutan pergolakan yang sedang berlaku di negara itu.

 

Wisma Putra telah mengaktifkan “Operasi Sudan” yang bertugas 24 jam sejak bermulanya krisis ini. Pasukan Khas “Operasi Sudan” yang turut disertai oleh

beberapa agensi Kerajaan telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan sentiasa

terpelihara.

 

Keadaan di Sudan dilaporkan masih lagi di dalam keadaan tegang di mana pertempuran antara kedua-dua pihak bertelagah masih sengit khususnya di

kawasan-kawasan strategik di Khartoum. Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum yang telah ditawan oleh pihak Rapid Support Forces (RSF) masih belum

dibuka kembali dan ini menyukarkan perancangan untuk membawa keluar rakyat-rakyat asing dari pelbagai negara termasuklah Malaysia.

 

Wisma Putra juga telah berhubung dengan beberapa buah negara sahabat seperti Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Amerika

Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan sebaik sahaja keadaan

mengizinkan.

 

Kesemua 29 rakyat Malaysia turut patuh terhadap nasihat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum agar terus berada di tempat

masing-masing bagi memastikan keselamatan mereka dan ahli keluarga. Wisma Putra, dengan dibantu, oleh agensi-agensi Kerajaan lain seperti Agensi

Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedaya upaya memastikan keselamatan rakyat

Malaysia di Sudan untuk membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat sejurus selepas keadaan mengizinkan. Pasukan Khas ini sentiasa

berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah yang paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas

khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kesemua mereka di Sudan.

 

Situasi di Sudan adalah amat kompleks. Ianya melibatkan perbalahan politik di antara dua (2) pihak utama di dalam Transitional Sovereignty Council yang bertanggungjawab dan memegang peranan pentadbiran Kerajaan Sudan. Berdasarkan laporan yang diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran bersenjata yang meletus sejak dua (2) hari yang lepas. Malaysia berharap pemimpin kedua-dua kumpulan ini dapat mendengar gesaan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pertempuran serta-merta dan kembali ke meja perundingan bagi mencari titik persefahaman untuk menyelesaikan segala isu atau perbalahan yang berbangkit.

 

Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
 
17 April 2023
Share:
Link copied to clipboard
Back