Mengakhiri kalendar aktiviti 2014, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dengan kerjasama Kelab UMNO Medan (KUM) telah menganjurkan Forum Silaturrahim Malaysia-Indonesia di Grand Aston City Hall Hotel & Serviced Residences Medan pada hari 19 Disember 2014.
Forum ini membincangkan beberapa perkara yang berkepentingan bersama di antara kedua-dua negara seperti budaya, bahasa, teknologi maklumat, media sosial, pendidikan, belia dan kerjasama keusahawanan. Ahli panel terdiri daripada YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia merangkap Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara; Bapak Parlindungan Purba, Anggota Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) Perwakilan Sumatera Utara; dan Bapak Drs. Shafwan Hady Umry, Pensyarah Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah Medan. Moderator Forum ini adalah Bapak Rizanul Arifin, Penyunting (Editor) Harian Medan Bisnis.
Seramai 250 tetamu Malaysia dan Indonesia hadir di majlis ini termasuklah Ibu R Sabrina, Asisten Perekonomian dan Pembangunan yang mewakili Gabenor Sumatera Utara dan Bapak Drs Musaddad Nasution yang mewakili Walikota Medan.
Forum ini diawali dengan majlis makan malam. Sambil menikmati juadah, tetamu-tetamu dihiburkan dengan persembahan oleh band tempatan yang mendendangkan lagu-lagu tradisional dan popular Malaysia dan Indonesia yang diminati ramai.