Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah mengesan aktiviti individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai kakitangan Konsulat. Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan undang-undang selanjutnya.
Dalam hal ini orang awam di Malaysia ataupun di Indonesia adalah diminta berwaspada agar tidak terpedaya, serta menolak apa-apa urusan ataupun transaksi kewangan dengan mana-mana individu di luar premis Konsulat Jeneral Malaysia. Sekiranya timbul keraguan terhadap identiti pegawai Konsulat Jeneral Malaysia, semakkan boleh dibuat dengan merujuk sesawang rasmi www.kln.gov.my/web/idn_medan/home atau menghubungi talian +(62)(61)4531342.
Orang awam yang memerlukan khidmat atau mempunyai urusan rasmi adalah diingatkan untuk berurusan dengan salah sebuah daripada (6) enam perwakilan rasmi Malaysia yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta; iaitu Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Konsulat Malaysia di Pontianak, Konsul Kehormat Malaysia di Makassar dan Konsul Kehormat Malaysia di Bali. Maklumat lanjut perwakilan-perwakilan Malaysia boleh diperoleh di laman web Kementerian Luar Negeri.
Konsul Jeneral Malaysia
Kota Medan, Republik Indonesia
7 Julai 2017