Hari Keluarga 2011 Malawakil Pontianak telah diadakan di pantai Rindu Alam, Kota Singkawang pada 24 September 2011. Singkawang merupakan kota pelancongan terletak kira-kira 3 jam perjalanan dengan kereta dari Pontianak. Acara tahun ini telah disertai oleh semua warga Konsulat dan ahli keluarga termasuk beberapa orang tetamu undangan khas, yang kesemuanya berjumlah 80 orang. Ianya telah dirasmikan oleh Timbalan Dato’ Bandar Singkawang, Bapak Drs. Edy R. Yacoub. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa orang pegawai dari pejabat Dato’ Bandar Singkawang terutamanya Sekretaris Daerah (setaraf Setiausaha Kerajaan Negeri).
Peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu Kumpulan Merah, Putih, Biru dan Kuning. Sebanyak 7 acara sukaneka/permainan telah dilaksanakan termasuk Cari Gula Dalam Tepung, Lari Kaki Tiga, Isi Air Dalam Botol, Main Kata Dwi Bahasa, Tarik Tali, Teka Berat Tembikai dan Teka Bilangan Langsat Dalam Bakul. Kumpulan Kuning telah diisytiharkan sebagai Juara Hari Keluarga 2011 dan membawa pulang ‘Hamper Besar’.
Cabutan Bertuah juga diadakan dengan pelbagai hadiah menarik termasuk tiket penerbangan pergi-balik AirAsia sektor Kuching-Kuala Lumpur, televisyen, penyedut hampagas, ketuhar gelombang mikro, telefon bimbit, kamera, wang tunai Rp1 juta, dapur memasak, mesin pencetak dan baucer penginapan di hotel. Hadiah Cabutan Bertuah disumbangkan oleh agen-agen Tenaga Kerja Indonesia, hotel-hotel dan HBS sendiri.
Setelah acara sukaneka selesai, peserta-peserta dibawa melawat Sinka Zoo Singkawang, Pulau Sipin (pulau terkecil di dunia), dan beristirehat di kolam renang sebelum bertolak pulang ke Pontianak.
Hari Keluarga merupakan mekanisma berkesan dalam usaha memupuk semangat kekitaan dan persefahaman sesama warga Konsulat dan ahli keluarga. Oleh itu, program ini wajar dilaksanakan setiap tahun.