Sebuah rombongan daripada KPJ Healthcare telah mengadakan lawatan ke Pontianak pada 12-13 Mei 2019. Rombongan tersebut yang diketuai oleh Encik Roslan Ahmad, Senior General Manager KPJ Healthcare Bhd, berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Bapak Syarif Kamaruzzaman, Sektretaris Daerah Kalimantan Barat dan pegawai-pegawai kanan di Kantor Gubernur.
Semasa pertemuan tersebut, rombongan KPJ Healthcare telah menerangkan mengenai perkembangan-perkembangan terkini berkenaan pembinaan bangunan baru KPJ Kuching Specialist Hospital dalam mempromosikan sektor kesihatan Malaysia kepada pemimpin dan pegawai di Provinsi Kalimantan Barat.
Perkhidmatan kesihatan dan perubatan Malaysia mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan rakyat Indonesia. Di Kalimantan Barat, ianya disebabkan oleh terdapatnya akses ke Kuching dengan mudah iaitu penerbangan Pontianak-Kuching sebanyak dua kali sehari serta tiket penerbangan yang murah dan perkhidmatan perubatan yang berkualiti dan berkesan. Kerjasama dalam bidang kesihatan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi di masa hadapan untuk manfaat kedua-dua negara.
