Malawakil, dengan kerjasama PERWAKILAN Pontianak telah menganjurkan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim pada 24 Ogos 2011 di Kediaman Rasmi Konsul Malaysia. Seramai 45 orang anak yatim dan 3 orang pegawai dari Rumah Anak Yatim Ahmad Yani telah menghadiri majlis ini. Program dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Pengerusi PERWAKILAN Pontianak, Puan Zanareah Zainudin; tazkirah agama oleh Bapak Drs. H.A. Munir, Staf Ahli Gubernur (juga Ketua Sejadah Fajar); diikuti dengan sembahyang Maghrib berjemaah; majlis makan malam dan seterusnya penyerahan duit raya kepada anak-anak yatim dan sumbangan derma kepada rumah anak yatim.
Rumah Anak Yatim Ahmad Yani telah ditubuhkan oleh Yayasan Ahmad Yani dan dihuni oleh 45 orang anak yatim dari seluruh Republik Indonesia terutamanya Kalimantan Barat. Walaupun adanya peruntukan bulanan dari Yayasan Ahmad Yani, keadaan rumah anak yatim ini masih daif dan perlu diberi bantuan. Rumah Anak Yatim Ahmad Yani ini juga menerima sumbangan wang tunai dari beberapa orang individu tempatan bagi menampung kos operasi dan perbelanjaan hariannya.
Pelaksanaan majlis berbuka puasa ini telah meningkatkan nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan masyarakat yang memerlukan bantuan terutamanya masyarakat Islam.