Program Sambutan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia – Indonesia ke-65 yang telah dilaksanakan pada 25-28 November 2022 dijalankan di tiga (3) lokasi utama iaitu di Ayani Megamall, Pontianak; Muzium Kalimantan Barat (Muzium Kalbar); dan Studio Televisi Republik Indonesia (TVRI). Program di Ayani Mall adalah berbentuk pameran pelancongan, perubatan, pendidikan dan kebudayaan; manakala di Muzium Kalbar pula dilaksanakan aktiviti pertandingan mewarna dan melukis poster berkaitan hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Dasar (SD); Menengah Pertengahan (SMP); dan Menengah Atas (SMA).
Di lokasi yang sama, turut diadakan demonstrasi lukisan Hubungan Diplomatik Malaysia – Indonesia oleh Encik Sylvester Wielding Anak Jussem, pensyarah dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Turut serta juga adalah Puan Anissa Abdul Aziz, Pensyarah dari FSGK UNIMAS yang diundang menjadi juri dan penasihat lukisan pertandingan mewarna dan melukis poster berkaitan hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia. Lukisan oleh Encik Sylvester Wielding Anak Jussem itu seterusnya diserahkan kepada Walikota Pontianak untuk dipamerkan di Muzium Kalbar.
Seterusnya, di Studio TVRI Kalimantan Barat pula diadakan Dialog berkaitan Sambutan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia – Indonesia ke-65, yang mana ahli panelnya terdiri daripada Prof Dr Neilson Ilan Mersat dan Dr Shafina Tantiana Binti Zulkipli. Masing-masing merupakan Dekan dan pensyarah dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) UNIMAS, manakala Bapak Dr. Herlan dan Ibu Dr. Ira Patriani merupakan Dekan dan pensyarah Fakultas Ilmu Sosial & Ilmu Politik (FISIP), Universitas Tanjungpura (UNTAN), Pontianak dan Konsul Malaysia di Pontianak.









