Pada 14 Januari 2019, Encik Mohiuddin Ghazali, Konsul Malaysia di Pontianak telah diwawancara oleh media tempatan iaitu Okezone, TVRI dan Tribun Pontianak mengenai pelbagai isu berkenaan hubungan dua-hala Malaysia-Indonesia khususnya di Kalimantan Barat.
Antara isu-isu yang diutarakan adalah berkenaan rancangan Konsulat Malaysia untuk menumpukan pengukuhan dalam hubungan kerjasama bidang pendidikan tinggi, keselamatan dan kesihatan.
Berhubung pendidikan tinggi, dasar Kerajaan Malaysia untuk memartabatkan lagi pendidikan teknikal dan vokasional telah menyaksikan dua MoU Kerjasama ditandatangani oleh institusi pengajian tinggi Malaysia dengan Politeknik Negeri Pontianak pada tahun 2018.
Manakala pertemuan Rapat Koordinasi di antara Ketua Polis Sarawak dan Kepala Kepolisian Daerah Kalimantan Barat direncana akan diadakan pada tahun 2019 bagi berkongsi maklumat dan membincangkan pelbagai isu jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barangan haram, kecurian kenderaan dan pendatang asing tanpa izin.
Konsulat Malaysia juga akan menggesa agar agensi-agensi berkaitan pembasmian penularan penyakit berjangkit seperti Rabies dan Avian Flu di antara kedua-dua belah pihak terutamanya Sarawak dan Kalimantan Barat berkoordinasi dengan lebih rapat untuk mencegah penularan penyakit-penyakit tersebut.