Mission News

Permohonan Pengundian Pos Luar Negara

23 January 2018 1 views

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA                                                     BIL.6/ 2018
                             
PERMOHONAN PENGUNDIAN POS LUAR NEGARA DIBUKA MULAI 23 JANUARI 2018

1.     Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin memaklumkan bahawa mulai 23 JANUARI 2018 (SELASA), warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada hari pengundian tetapi berada di luar negara boleh memohon untuk mengundi melalui pos dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

2.     SPR telah menetapkan syarat-syarat bagi menunjukkan terdapat hubungan yang jelas di antara warganegara Malaysia dengan tanah airnya. Oleh itu, untuk memohon kemudahan mengundi melalui pos, warganegara Malaysia yang berada di luar negara hendaklah memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
 
i.  mestilah seorang pemilih berdaftar (kategori: Pengundi Biasa atau bukan Pengundi Tidak Hadir Luar Negara);

ii.  pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa;

iii.  menetap di luar negara KECUALI bagi mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberikan kemudahan untuk mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan.
 
3.    Sehubungan dengan itu, warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada hari pengundian selain daripada Pengundi Tidak Hadir (PTH) yang berada di luar negara dan menepati syarat-syarat seperti di atas, boleh memohon kemudahan mengundi melalui pos menggunakan Borang 1B. SPR telah memuat naik (upload) Borang 1B – Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) pada laman sesawang SPR di www.spr.gov.my. Selain daripada itu, garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman sesawang SPR.

4.    Permohonan melalui borang 1B yang telah diisi lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui kaedah-kaedah yang berikut:
 
i.  melalui emel kepada upup@spr.gov.my; atau

ii.  melalui faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369; atau

iii.  melalui pos ke alamat;
 
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Menara SPR, No.2 Jalan P2T,
Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya
(u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara)
 
5.    Permohonan mengundi melalui pos dari luar negara akan ditutup pada hari pembubaran Parlimen. Permohonan yang diterima selepas jam 12.00 malam pada hari pembubaran Parlimen tidak akan diproses.
 
6.     Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan itu sama ada diluluskan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai PTH di luar negara adalah pengundi pos dan oleh itu tidak perlu memohon.
 
7.     SPR juga ingin menasihatkan kepada semua warganegara Malaysia yang telah berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR. Permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara HENDAKLAH dilampirkan (dimuat naik) bersama salinan passport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon. Pengemaskinian alamat terkini di luar negara adalah bagi tujuan penghantaran kertas undi pos untuk PRU Ke-14 yang akan datang.

8.    Bagi maksud Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, penghantaran kertas undi pos akan diuruskan sepenuhnya oleh POS Malaysia Berhad dan tidak lagi melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

9.    Untuk sebarang pertanyaan  berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my.

Sekian, terima kasih.


TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia


PUTRAJAYA
Tarikh:  22 Januari 2018/ 5 Jamadil Awal 1439H

Share:
Link copied to clipboard
Back