LAPORAN AKTIVITI-AKTIVITI PMRM BAGI BULAN FEBRUARI 2013 MALAWAKIL NAIROBI
Perjumpaan bersama Rakyat Malaysia yang bermastautin di Kenya diadakan bagi membincangkan dua perkara seperti di bawah:-
A. Pilihanraya Umum Kenya
1. Membuat persediaan bagi menghadapi Pilihanraya Umum di Kenya pada 4 Mac 2013. Pilihanraya Umum Kenya yang sebelum ini (2007/2008) yang tidak berjalan lancar telah menimbulkan huru-hara dan pergaduhan kaum yang meragut nyawa 1200 orang dan mengakibatkan 600,000 orang kehilangan tempat tinggal.
2. Malawakil memandang perkara ini secara serius dan telah membuat beberapa perbincangan bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di Kenya. Kebanyakkan rakyat Malaysia menyatakan kebimbangan mereka yang berkemungkinan besar perkara yang sama boleh berulang di Kenya. Oleh yang demikian, Malawakil telah membuat perbincangan dengan pihak kerajaan Kenya, pegawai keselamatan PBB, pihak sekuriti Kenya dan beberapa pegawai yang berkaitan dengan keselamatan.
B. Pilihanraya Umum Malaysia ke 13
1. Perbincangan ini diadakan untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang tinggal di Kenya memahami prosedur pendaftaran diri sebagai Pengundi Pos. Selain daripada itu, Malawakil menggunakan peluang ini untuk mengemaskinikan rekod rakyat Malaysia yang bermastautin di Kenya.
Hasil daripada sesi-sesi perjumpaan tersebut adalah seperti berikut:-
1. Perjumpaan bersama Rakyat Malaysia (Sesi 1) di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia pada 9 Februari 2013
a. Mengemaskinikan persediaan rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihanraya Umum Kenya yang akan diadakan pada 4 Mac 2013.
b. Memberi peringatan dan nasihat kepada semua rakyat Malaysia supaya lebih berwaspada dan berhati-hati semasa dan selepas Pilihanraya Umum Kenya.
c. Mengedarkan borang untuk diisi oleh semua rakyat Malaysia bagi tujuan pengemaskinian database Malawakil. Ini merupakan satu langkah untuk memastikan semua rakyat Malaysia berdaftar dan mengemaskini maklumat diri bagi tujuan perhubungan dalam situasi kecemasan dan sebagainya.
d. Peluang ini juga telah digunakan untuk menerangkan proses Pengundian Pos dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mendaftar sebagai Pengundi Pos bagi Pilihanraya Umum Malaysia yang ke-13.
2. Perjumpaan bersama Rakyat Malaysia (Sesi 2) di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia pada 23 Februari 2013
a. Perjumpaan ini diadakan bagi membincangkan situasi politik dan keselamatan semasa di Kenya disamping mengemaskinikan persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum Kenya yang akan diadakan pada 4 Mac 2013.
b. Malawakil turut memaklumkan langkah –langkah yang diambil oleh pihak sekuriti Kenya dan pihak Malawakil serta Kedutaan-kedutaan asing di Kenya. Disamping itu, Malawakil juga membincangkan dan menerangkan plan-plan evakuasi yang akan diambil oleh Malawakil sekiranya berlaku situasi kecemasan yang boleh mengancam keselamatan rakyat Malaysia di Kenya.
c. Pelan-pelan evakuasi yang dirancang adalah seperti berikut:-
Pelan A
Pengangkutan Darat dari Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Ke Lapangan Terbang JKIA, Nairobi, Kenya dan seterusnya Pengangkutan Udara balik ke Malaysia menggunakan Kapal Terbang Komersial. Pelan ini akan digunakan apabila jalanraya agak selamat dan dikawal / ditemani oleh pihak sekuriti tempatan.
Pelan B
Pengangkutan Udara menggunakan Helikopter dari Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Ke Lapangan Terbang JKIA, Nairobi, Kenya dan seterusnya Pengangkutan Udara balik ke Malaysia menggunakan Kapal Terbang Komersial. Pelan ini akan digunakan apabila jalanraya tidak selamat atau tidak dikawal / ditemani oleh pihak sekuriti tempatan.
Pelan C
Pengangkutan Udara menggunakan Helikopter dari Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Ke Lapangan Terbang JKIA,Nairobi, Kenya dan seterusnya Pengangkutan Udara balik ke Malaysia menggunakan Special Aircraft dari Malaysia. Pelan ini akan digunakan apabila jalanraya tidak selamat atau tidak dikawal / ditemani oleh pihak sekuriti tempatan. Special Aircraft akan dipohon apabila Airport Kenya tidak beroperasi atau tiket kapal terbang komersial penuh.
Pelan D
Pengangkutan Darat dari Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Ke Arusha, Tanzania(Kenya/ Tanzania Border). Pelan ini hanya akan digunakan apabila jalan raya dalam keadaan yang selamat dan Lapangan Terbang JKIA, Nairobi, Kenya tidak beroperasi.
Peluang ini digunakan juga untuk menerangkan semula proses Pengundian Pos dan menggalakkan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai Pengundi Pos untuk melayakkan diri untuk mengundi semasa Pilihanraya Umum Malaysia yang ke 13.