Mission News

RUMAH TERBUKA AIDIL ADHA 2023 SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI NAIROBI - 28 JUN 2023

30 June 2023 1 views

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Kenya menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Adha pada hari Rabu, 28 Jun 2023. Majlis yang berlangsung di perkarangan rumah kediaman Setiausaha Ketiga bermula pada jam 12.30 tengahari itu telah dihadiri lebih kurang 50 orang tetamu. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran beberapa diplomat asing, rakyat Malaysia, warga asing yang dikenali sebagai Friends of Malaysia, serta tetamu dari kalangan masyarakat tempatan.

 

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, TYT Ruzaimi Mohamad serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Kenya menggunakan kesempatan ini untuk bertemu dan beramah mesra dengan semua tetamu yang hadir sekaligus mengukuhkan lagi silaturrahim dan hubungan baik yang telah terjalin dikalangan semua yang hadir ke majlis tersebut.

 

Dalam majlis itu para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh keluarga Puan Nurul Akmar serta ahli-ahli Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri Malaysia (PERWAKILAN Nairobi). Program tersebut juga telah dapat memperkenalkan Malaysia dari segi kepelbagaian budaya dan makanan seperti Sate, Soto, Lontong, Kambing Bakar, Bubur jagung, nasi arab serta beraneka jenis kuih muih Malaysia. Turut dihidangkan adalah minuman yang popular di Malaysia iaitu teh tarik dan jus buah laici asam boi. Tetamu turut dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu raya yang menjadikan suasana lebih meriah.

 

Program ini telah memberi peluang kepada para tetamu untuk berkenalan dan beramah mesra terutamanya kepada yang belum mengenali kakitangan Kedutaan yang baru memulakan tugas di Nairobi iaitu Puan Norfaizah Husin, Setiausaha Pejabat kepada Pesuruhjaya Tinggi. Pesuruhjaya Tinggi turut memperkenal dan mempromosikan konsep Malaysia Madani kepada tetamu iaitu ikhtiar secara bersepadu dan holistik Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi serta menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

 

                                      

Share:
Link copied to clipboard
Back