Mission News

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA NAIROBI, KENYA, 16 SEPTEMBER 2014

22 September 2014 1 views

 

Majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia telah diadakan serentak dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2014 di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Nairobi, Kenya. Majlis tersebut telah dihadiri oleh hampir 280 orang tetamu yang terdiri daripada Ketua-ketua Perwakilan Asing, wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, wakil-wakil Kementerian Luar Negeri, diplomat-diplomat asing, ahli-ahli perniagaan dan politik, ahli akademik, wakil agensi-agensi kerajaan, bekas graduan IPT Malaysia, warganegara Malaysia dan masyarakat tempatan. Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pengarah Pejabat PBB di Nairobi (UNON), TYT Sahle-Work Zewde dan Pengarah Esekutif UNEP, TYT Achim Steiner.  Menteri Perlombongan Kenya, YB Najib Balala merupakan  tetamu kehormat pada majlis tersebut.

 

2.         Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Kenya Ee Mungu Nguvu Yetu (Oh God of All Creation). Majlis kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan dari TYT Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan tetamu kehormat, YB Najib Balala.

 

3.         Antara intipati ucapan TYT Pesuruhjaya Tinggi termasuklah penerangan mengenai hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara membangun dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Beliau juga menyentuh mengenai sejarah hubungan kerjasama ekonomi, politik dan sosial Malaysia-Kenya serta potensi besar untuk dipertingkat di masa hadapan. Syarikat-syarikat Malaysia dan Kenya diseru untuk meneroka peluang-peluang pelaburan dan perdagangan yang terbuka luas terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pembinaan. Untuk tujuh bulan pertama tahun 2014 jumlah dagangan antara Malaysia dan Kenya telah meningkat lebih 30 peratus kepada lebih USD 400 juta berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Buat masa ini, Kenya merupakan rakan dagangan utama Malaysia di rantau Afrika Timur. Dalam kesempatan itu juga, TYT Pesuruhjaya Tinggi menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu hati terutamanya selepas tragedi kehilangan pesawat MH 370 dan penembakan jatuh pesawat MH 17 di Ukraine, yang dilihat begitu mencabar ketabahan seluruh rakyat dan negara dalam tahun 2014. Rakyat Malaysia diminta untuk terus bersatu untuk bersama-sama membangunkan negara demi kepentingan generasi akan datang. Ucap selamat turut ditujukan kepada Presiden Republik Kenya, TYT Uhuru Muigai Kenyatta dan hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

 

4.         Dalam ucapan balas, Menteri Perlombongan Kenya mengucapkan tahniah sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 57. Beliau mengkagumi pembangunan dan kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia sejak kemerdekaannya.  Banyak perkara yang dapat dipelajari dari Malaysia kerana pada hakikatnya Malaysia yang lebih mundur dari Kenya semasa mencapai kemerdekaan kini telah bergerak jauh ke hadapan dalam segi pembangunan dan kemakmurannya. Beliau juga mengalu-alukan kedatangan para pelabur dan ahli perniagaan Malaysia untuk datang melabur dan menerokai peluang-peluang perdagangan di Kenya.  Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada negara kita ke atas tragedi yang menimpa pesawat penerbangan Malaysia MH 370 dan MH 17.

 

5.         Mengambil konsep cocktail party, tetamu yang mula hadir seawal jam 6 petang telah dihidangkan dengan nasi pilau dan kambing panggang dan juga masakan Malaysia seperti mee goreng, mihun goreng, sate ayam, spicy chicken wings, rojak buah serta kuih-muih Melayu seperti karipap, cucur badak, kuih bijan, seri muka, cara manis, talam kacang merah, wajik dan aneka kek lapis Sarawak. Makanan seperti roti naan, capati dan dalca sayur serta samosa turut disediakan untuk tetamu vegetarian.

 

6.         Tetamu yang datang telah turut berpeluang mendapatkan maklumat berhubung tempat-tempat tarikan pelancong dan aktiviti-aktiviti Tahun Melawat Malaysia 2014 serta peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia melalui risalah-risalah yang disediakan untuk para tetamu. Kesempatan ini turut digunakan untuk bertukar-tukar maklumat dengan para hadirin terutamanya keadaan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap di Kenya. Majlis ini memberi kesempatan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak di atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan selama ini.

 

Ulasan

 

7.         Majlis berjaya dilaksanakan dengan lancar dan semua hadirin telah menikmati makanan Malaysia di samping berkesempatan bertemu dan beramah mesra sesama mereka. Majlis tersebut telah dapat mengeratkan lagi hubungan bukan sahaja antara hadirin dari berbagai negara, bangsa dan bidang pekerjaan malahan juga memberi peluang kepada pihak Suruhanjaya Tinggi untuk mengeratkan hubungan dengan warganegara Malaysia yang hadir. Rata-rata yang hadir memuji keenakan makanan yang disediakan dan bergembira kerana diberi peluang untuk turut sama meraikan hari kemerdekaan negara kita.

 

8.         Dalam hal ini, pihak Suruhanjaya Tinggi ingin merakamkan penghargaan di atas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh pihak Kementerian bagi mengadakan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan di Nairobi, Kenya pada tahun ini.

 

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back