AKTIVITI PERTAMA
SAMBUTAN BULAN SUKAN NEGARA
DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MEXICO CITY, MEXICO
AKTIVITI BERJALAN KAKI DAN BERBASIKAL
PADA 13 OKTOBER 2019
Sempena Pengisytiharan Bulan Oktober sebagai Bulan Sukan Negara, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City, Mexico dengan kerjasama Perwakilan Mexico City telah mengadakan aktiviti-aktiviti fizikal bagi membudayakan sukan di kalangan warga Malaysia di Mexico selaras dengan usaha Kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai Negara Sukan menjelang tahun 2020. Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan lagi semangat kerjasama dan berpasukan antara kakitangan Kedutaan dan rakyat Malaysia yang bermastautin di Mexico, khususnya Mexico City.
Mengetengahkan elemen 3M iaitu murah, mudah dan menarik, aktiviti Bulan Sukan Negara di Mexico City, Mexico telah diisi dengan tiga aktiviti pada setiap hujung minggu pada bulan Oktober 2019 (13 Oktober 2019, 19 Oktober 2019 dan 26 Oktober 2019).
Bagi Aktiviti Pertama pada 13 Oktober 2019, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City, Mexico telah mengadakan program berjalan kaki dan berbasikal di tengah-tengah metropolitan Mexico City. Acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran TYT Duta Besar Malaysia di Mexico dan keluarga. Bagi warga Malaysia yang lain, mereka telah mulai berkumpul seawal jam 9 pagi lagi di Auditorium Nasional Mexico bagi sesi memanaskan badan sebelum acara berjalan kaki dan berbasikal bermula. Seramai kira-kira lima puluh orang (50) warga Malaysia termasuk kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City, Mexico (HBS dan LRS) telah menyertai Aktiviti Pertama Bulan Sukan Negara di Mexico.
Usai sesi memanaskan badan, acara berjalan kaki dan berbasikal terus diadakan pada kira-kira jam 9.30 pagi dengan warga Malaysia melalui jalan yang telah dikhaskan oleh pihak Majlis Bandaraya Mexico untuk ke destinasi penamat di tugu Angel de la Independencia, sejauh kira-kira tiga (3) kilometer daripada tempat mula. Seterusnya, satu sesi bergambar beramai-ramai bersama warga kakitangan Kedutaan dan warga Malaysia diadakan di hadapan tugu Angel de la Independencia. Aktiviti Pertama Kedutaan Malaysia di Mexico City, Mexico iaitu sesi berjalan kaki dan berbasikal sempena Bulan Sukan Negara tamat sekitar jam 11 pagi.
Kedutaan Besar Malaysia
Mexico City
MEXICO
22 Oktober 2019
|
|
| Kakitangan Kedutaan dan sebahagian warga Malaysia yang berkumpul awal di Auditorium Nasional Mexico sebelum aktiviti berjalan kaki dan berbasikal dimulakan |
|
|
| Acara memanaskan badan yang diketuai oleh kakitangan Kedutaan, Saudara Luis Enrique |
|
|
| TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa dan warga Malaysia memulakan perjalanan sejauh tiga (3) kilometer ke tempat berkumpul di tugu Angel de la Independencia |
|
|
| Sebahagian warga Malaysia berkumpul di checkpoint pertama sementara menunggu peserta-peserta lain sampai |
|
|
| Antara peserta kakitangan Kedutaan dan warga Malaysia yang menyertai Aktiviti Pertama sempena Bulan Sukan negara di Mexico |
|
|
| Acara berzumba bagi warga Mexico yang turut disertai oleh peserta-peserta Malaysia |
|
|
| Sesi bergambar beramai-ramai di tugu Angel de la Independencia sebelum aktiviti bersurai |






