Jawatankuasa ASEAN di Mexico City (ACMC) yang dipengerusikan oleh Malaysia bagi separuh penggal pertama tahun 2022 telah mengadakan Lawatan Kerja ASEAN ke Negeri Guanajuato dari 23 hingga 26 Mei 2020. Lawatan ini telah dianjurkan secara bersama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Mexico dan Kerajaan Negeri Guanajuato. Semua Ketua Perwakilan bersama delegasi masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam telah sama-sama menghadiri lawatan tersebut. Manakala delegasi Filipina pula telah diketuai oleh Konsul Jeneral. Delegasi Malaysia telah diketuai oleh TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa dan turut disertai oleh Setiausaha Pertama, Pegawai Penerangan dan Penasihat Perdagangan daripada pihak Agensi MATRADE Mexico City turut menyertai lawatan tersebut.
Guanajuato telah dipilih berdasarkan lokasi negeri tersebut yang strategik iaitu berada di tengah-tengah negara Mexico. Kepentingan kedudukan Guanajuato dari segi logistik juga dapat dilihat dengan adanya sebuah pelabuhan darat di negeri ini dan hampir kebanyakan lebuh raya utama dan laluan kereta api dihubungkan melalui Guanajuato. Pertumbuhan ekonomi Guanajuato dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga telah menjadikannya salah satu negeri yang paling dinamik di Mexico iaitu keenam terpenting di Mexico daripada segi pertumbuhan ekonominya. Melalui pelaksanaan rancangan “Pelan Pembangunan 2040: Membina Masa Depan” pula, Guanajuato bercita-cita untuk menjadi hab perindustrian utama di Mexico yang memfokuskan kepada Ekonomi Digital serta Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Lawatan Kerja ASEAN ke Negeri Guanajuato dari 23 hingga 26 Mei 2022 bertujuan memenuhi objektif-objektif yang ditetapkan, seperti berikut:
- Meningkatkan jalinan hubungan antara Kedutaan-Kedutaan ASEAN dengan pentadbiran tertinggi negeri seperti Gabenor, Datuk Bandar dan Setiausaha-Setiausaha Negeri;
- Mencari potensi kerjasama dan peluang perdagangan baharu di mana lawatan jerayawara diadakan;
- Memastikan terdapat peluang perniagaan untuk negara-negara ASEAN di negeri terbabit serta dapat membantu pelabur-pelabur atau peniaga-peniaga ASEAN yang berpotensi untuk mendapatkan insentif pelaburan/ perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri;
- Menggalakkan perdagangan dan pelaburan ASEAN serta sektor perkhidmatan di negeri-negeri di Mexico;
- Memperkukuh dan mempelbagaikan hubungan dua hala secara terus di antara negara-negara ASEAN dan Kerajaan Negeri di bidang pelancongan, kebudayaan serta pendidikan;
- Menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN untuk menganjur dan mengaturkan Lawatan Kerja ASEAN di Mexico yang akan dihadiri oleh ahli-ahli ACMC.
Antara program yang telah berjaya dianjurkan sewaktu Lawatan ASEAN ke Negeri Guanajuato dari 23 hingga 26 Mei 2022 adalah seperti berikut:
- Perjumpaan dengan Gabenor Guanajuato, TYT Diego Sinhue Rodrigues Vallejo pada 24 Mei 2022;
- Perjumpaan dengan ahli Majlis Perbandaran Guanajuato yang diketuai oleh wakil Datuk Bandar iaitu Encik Mauricio Usabiaga Diáz Barriga, Sekretariat Pembangunan Ekonomi Lestari pada 24 Mei 2022;
- Lawatan serta Taklimat oleh Pelabuhan Darat Guanajuato pada 24 Mei 2022;
- Majlis Taklimat serta Makan Tengah hari yang dihoskan oleh Institut IDEA GTO pada 24 Mei 2022;
- Forum Perniagaan ASEAN pada 25 Mei 2022;
- Mesyuarat B2B antara delegasi ASEAN dan persatuan-persatuan peniaga/ ahli perniagaan di Guanajuato pada 25 Mei 2022;
- Mesyuarat Makan Tengah hari yang dihoskan oleh Datuk Bandar Irapuato, Guanajuato, PYT Lorena Alfaro Garcia pada 25 Mei 2022;
- Majlis Makan Malam bersama delegasi ASEAN dan wakil-wakil Kerajaan Negeri Guanajuato yang dihoskan oleh Malaysia pada 25 Mei 2022;
- Lawatan tapak ke kilang Denso, Mexico pada 26 Mei 2022; dan
- Sidang Media antara media tempatan dan Duta Besar- Duta Besar ASEAN
Sebagai Pengerusi Komuniti ASEAN di Mexico City bagi separuh penggal pertama 2022, penganjuran bersama Lawatan Jerayawara Ekonomi ASEAN ke Negeri Guanajuato dari 23 hingga 26 Mei 2022 oleh Malaysia dan Kerajaan Guanajuato telah memberikan imej positif untuk Malaysia sebagai penggerak utama bukan sahaja di kalangan negara-negara ASEAN tetapi juga di pihak Kerajaan Negeri dan sektor swasta di Mexico dalam memastikan negara-negara ASEAN mendapat manfaat ekonomi dan sosiopolitik secara maksimum di Mexico secara am dan Negeri Guanajuato secara khusus. Ia juga menunjukkan komitmen berterusan Malaysia terhadap aktiviti Komuniti ASEAN di Mexico City (ACMC).
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah diterima dengan amat baik oleh Kerajaan Negeri Guanajuato dan Komuniti perniagaan tempatan, terutamanya di dua bandar di negeri tersebut iaitu di bandar Guanajuato dan bandar Irapuato. Lawatan itu dapat mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang negara-negara ASEAN dan peluang perdagangan di rantau ini termasuk Malaysia. Dengan lokasi strategik dan menjadi pemacu kepada banyak sektor-sektor industri di Mexico serta prasarana yang baik termasuk mempunyai pelabuhan darat sendiri, Guanajuato dilihat boleh menjadi pintu masuk bagi produk Malaysia serta pelaburan Malaysia untuk menyambung ke pasaran yang lebih luas bukan sahaja di Mexico khususnya, tetapi juga ke AS dan negara Amerika tengah yang lain.
Disediakan oleh:
Kedutaan Besar Malaysia di Mexico
30 Mei 2022

Delegasi ASEAN bersama Gabenor Guanajuato, TYT Diego Sinhue Rodrigues Vallejo

TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa bersama Gabenor Guanajuato

Ketua Delegasi ASEAN bersama Majlis Perbandaran Guanajuato dan wakil Kerajaan Negeri Guanajuato pada 24 Mei 2022

Mesyuarat Makan Tengahari antara Ketua Delegasi ASEAN dan Datuk Bandar Irapuato, Guanajuato pada 25 Mei 2022

Lawatan Delegasi ASEAN ke Pelabuhan Darat Guanajuato pada 24 Mei 2022

Forum Perniagaan ASEAN pada 25 Mei 2022

Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa untuk delegasi ASEAN dan wakil-wakil Kerajaan Negeri Guanajuato pada 25 Mei 2022

Lawatan Tapak ke Kilang Denso, Guanajuato Mexico pada 26 Mei 2022