Pada 26 Januari 2019, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico dengan kerjasama Perwakilan Mexico City telah mengadakan Majlis Kenduri Akikah anak perempuan kepada Setiausaha Pertama, Encik Norafizan Mustaffa dan pasangan Puan Nor Syahira Bohari. Selain daripada itu, ia juga bertujuan mengeratkan ukhuwah kemesraan antara Kedutaan dan warga Malaysia di Mexico, khususnya Mexico City sempena tahun baharu. Ia juga merupakan program pertama mendampingi rakyat Malaysia di luar negara di Kedutaan Besar Malaysia di Mexico bagi tahun 2019.
Majlis yang bermula pada pukul 11.00 pagi itu telah dihadiri kira-kira empat puluh (40) warga Malaysia di bumi Mexico termasuk warga Mexico sendiri. Duta Besar Malaysia ke Mexico, TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa serta isteri, Puan Najwa Zainal telah turut hadir bagi menyerikan lagi Majlis.
Acara dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran ke atas kelahiran bayi sebelum ia diteruskan dengan acara “potong jambul”. Seterusnya, para tetamu telah dijamu dengan makanan tradisonal Malaysia seperti Nasi Biryani, Daging Masak Kurma, Ayam Masak Merah, Daging Masak Biryani serta kuih-muih yang telah disediakan secara gotong-royong oleh Perwakilan Mexico City. Majlis berakhir kira-kira pada pukul 3.00 petang.
Semoga dengan kehadiran orang baharu dan kedatangan tahun 2019, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico akan lebih aktif dalam mempromosikan Malaysia di bumi Mexico selain mengukuhkan lagi tali silaturahim sesama warga Malaysia di sini.
Kedutaan Besar Malaysia
Mexico City
MEXICO
29 Januari 2019
|
|
| Ahli Perwakilan Mexico City bersama Puan Najwa Zainal sewaktu persiapan Majlis Kenduri Akikah |
|
|
| Acara doa selamat bagi menyambut kelahiran anak kepada Encik Norafizan Mustaffa |
|
|
| Acara “potong jambul” di pihak jemputan lelaki |
|
|
| Acara “potong jambul” di pihak jemputan perempuan |
|
|
| Antara tetamu yang hadir sewaktu sambutan majlis Akikah yang diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Mexico pada 26 Januari 2018 |
|
|
| TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa dan Puan Najwa Zainal bersama Encik Norafizan Mustaffa dan Puan Syahira Bohari yang meraikan kelahiran anak pertama mereka |
|
|
| Warga Malaysia di Mexico dan para tetamu yang hadir sedang menjamu selera di laman Kedutaan Besar Malaysia di Mexico |
|
|
| Warga Malaysia di Mexico City sedang menjamu juadah yang disediakan oleh Perwakilan Mexico City |