Kedutaan Besar Malaysia di Mexico dengan kerjasama Perwakilan Mexico City telah berjaya menganjurkan “Program Santai Tayangan Siaran Langsung Perlawanan Akhir Bola Sepak AFF Suzuki 2018: Malaysia lawan Viet Nam Bersama Warga Malaysia di Mexico” yang diadakan Kedutaan Besar Malaysia di Mexico pada 15 November 2018 (Sabtu). Tujuan program ini diadakan adalah bagi menzahirkan sokongan kepada pasukan Malaysia yang menentang pasukan Viet Nam dalam perlawanan akhir Piala Asian Football Championship (AFF) Suzuki yang bersiaran secara langsung dari Hanoi, Viet Nam. Ia juga bagi mengeratkan lagi ukhuwah silaturahim antara kakitangan Kedutaan dan warga Malaysia yang bermastautin di Mexico. Kira-kira empat puluh (40) orang warga Malaysia termasuk kakitangan Kedutaan yang menghadiri program tersebut. TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa dan isteri, Puan Najwa Zainal telah turut sama hadir bagi menyerikan lagi proram yang bermula seawal jam 6.30 pagi dalam keheningan pagi yang dingin.
Di samping itu, Perwakilan Mexico City telah turut mengadakan jualan amal sarapan pagi Roti Canai, Nasi Lemak, kuih Karipap dan Teh Tarik dengan harga murah dan berpatutan bagi menyumbang kepada tabung Perwakilan Mexico City. Jualan amal ini telah berjaya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada warga yang hadir bagi menonton siaran langsung perlawanan bola sepak tersebut. Pihak Kedutaan seterusnya telah mengadakan tayangan filem percuma kepada hadirin yang hadir sebelum program berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai matlamat dalam menanam semangat kecintaan warga Malaysia Malaysia di perantauan kepada tanah air selain daripada mengukuhkan lagi tali persaudaraan dan kerjasama antara pihak Kedutaan dan warga Malaysia di Mexico khususnya Mexico City. Ia juga berjaya mencungkil bakat kakitangan Kedutaan dalam menyediakan juadah Malaysia seperti Roti Canai.
Walaupun Malaysia tidak berjaya membawa pulang Piala AFF Suzuki 2018, pihak Kedutaan dan warga Malaysia di Mexico tetap mengucapkan syabas dan terima kasih atas semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh pasukan bola sepak Malaysia sehinggalah ke minit-minit terakhir perlawanan. Semangat perjuangan dan cintakan tanah air ini patut dijadikan teladan dan pedoman kepada semua tidak kira di mana mereka berada dan walau betapa jauhnya mereka dari tanah air tercinta. Malaysia tetap di hati. Viva Malasia!
Kedutaan Besar Malaysia
Mexico City
MEXICO
18 Disember 2018
|
|
| Warga Malaysia yang hadir di Kedutaan Besar Malaysia di Mexico untuk menyokong pasukan Malaysia dalam Piala Akhir Bola Sepak AFF Suzuki 2018 |
|
|
| TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa turut sama menyumbang ilmu dalam menunjuk ajar cara-cara menguli dan menebar Roti Canai kepada warga Malaysia di Mexico City |
|
|
| Sebahagian daripada ahli Perwakilan Mexico City sewaktu penyediaan sarapan Nasi Lemak dan Roti Canai |
|
|
| Puan Najwa Zainal di kaunter jualan amal sarapan pagi Perwakilan Mexico City |
|
|
| Sebahagian daripada warga Malaysia di Mexico yang sedang menonton saat-saat penuh debaran sewaktu pasukan Malaysia sedang diasak hebat oleh pihak lawan |
|
|
| Perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Viet Nam yang dipertontonkan secara langsung melalui skrin layar besar di halaman Kedutaan |