Kedutaan Besar Malaysia di Mexico dengan kerjasama Perwakilan Mexico City telah menyertai Sambutan ´Hari Negara-Negara´ (Dia de Las Naciones) di Sekolah Akademi Antarabangsa Mandala di Lopez Mateos, Mexico pada 24 November 2018. ´Hari Negara-Negara´ ini diadakan bertujuan bagi memperkenalkan silang budaya negara-negara di dunia dan pada masa yang sama memberikan kesedaran akan fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui acara-acara yang diketengahkan sewaktu program ´Hari Negara-Negara´.
Selain daripada Kedutaan Besar Malaysia di Mexico, wakil-wakil kedutaan daripada negara lain seperti Pakistan, Jordan, Nigeria, Serbia, Colombia dan Indonesia telah turut sama menyertai Sambutan ´Hari Negara-Negara´. Seramai kira-kira seratus lima puluh orang pelajar-pelajar dan ibu bapa telah menghadiri sambutan Dia de Las Naciones. Di pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mexico, TYT Ambassador Muzafar Shah Mustafa dan Puan Najwa Zainal telah turut sama menyerikan Majlis sebagai tetamu kehormat selain daripada kehadiran wakil-wakil kakitangan Kedutaan pada hari tersebut.
Melalui program ini, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico telah berjaya menonjolkan keindahan alam di Malaysia kepada tetamu-tetamu yang hadir melalui pameran potret-potret landskap di Malaysia dan juga pameran wau dan baju tradisional Melayu. Selain itu, Perwakilan Mexico City telah turut menyediakan juadah-juadah enak Malaysia seperti bihun goreng, karipap, kuih lapis, kek pisang, teh tarik dan Air Bandung yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat tempatan.
Program yang bermula dari pukul 9.00 pagi itu berakhir kira-kira jam 12.30 tengahari. Pïhak Sekolah Akademi Antarabangsa Mandala telah menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih mereka di atas penyertaan Kedutaan Besar Malaysia di Mexico dan berharap agar kerjasama yang terjalin di antara pihak Kedutaan dan Sekolah Akademi Antarabangsa Mandala dapat diteruskan dalam program-program yang akan diadakan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, penyertaan Kedutaan Besar Malaysia di Mexico adalah amat bertepatan dengan visi dan misi Wisma Putra dalam memperkayakan program-program yang berkaitan dengan Diplomasi Awam (Public Diplomacy). Usaha-usaha seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan kerjasama berpasukan antara kakitangan di Kedutaan, malah ia juga dapat memperkenalkan Negara Malaysia tercinta kepada orang awam tempatan di Mexico dengan lebih efektif lagi.
Kedutaan Besar Malaysia
Mexico City
MEXICO
26 November 2018
|
|
| Sambutan ´Hari Negara-Negara´ atau Dia de Las Naciones yang digerakkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Akademi Antarabangsa Mandala |
|
|
|
|
|
|
| Pameran potret-potret bagi memperkenalkan keindahan alam di Malaysia dan pameran wau |
|
|
| Jualan kuih-muih tradisional Malaysia yang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada tetamu-tetamu yang hadir |
|
|
| Booth Malaysia di Program Dia de Las Naciones |
|
|
| Antara kuih muih yang disediakan oleh pihak Perwakilan Mexico City |