SIARAN MEDIA
MESYUARAT KE-6 JAWATANKUASA SANITARI DAN FITOSANITARI
PERJANJIAN PERDAGANGAN BEBAS MALAYSIA – NEW ZEALAND
WELLINGTON, NEW ZEALAND
WELLINGTON, NEW ZEALAND, 7 OKTOBER 2025 – YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Ke-6 Jawatankuasa Sanitari Dan Fitosanitari Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia – New Zealand (The 6th Sanitary and Phytosanitary Committee Malaysia – New Zealand Free Trade Agreement Meeting – SPSC MNZFTA) dengan pihak Ministry for Primary Industries di Wellington, New Zealand pada 6 Oktober 2025. Mesyuarat ini diadakan secara berkala sejak MNZFTA ditandatangani pada tahun 2009 bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam langkah-langkah sanitari dan fitosanitari antara kedua-dua negara terutamanya dalam memastikan perdagangan produk pertanian dan makanan antara Malaysia dan New Zealand berjalan lancar serta memenuhi standard keselamatan makanan, kesihatan haiwan dan tumbuhan yang diiktiraf antarabangsa.
Dalam mesyuarat ini, Malaysia dan New Zealand telah berjaya memuktamadkan dua Implementing Arrangement (IA). Melalui pemeteraian Implementing Arrangement on The Export Plan for The Export of Plant Products from Malaysia to New Zealand, ia akan membuka akses pasaran produk pertanian Malaysia ke New Zealand dengan nanas sebagai permulaan. Pelaksanaan IA ini akan membuka peluang eksport nanas yang besar dengan anggaran eksport bernilai RM30.9 juta menjelang 2030. Di samping itu, Malaysia turut menyampaikan hasrat untuk meneroka potensi akses pasaran bagi buah tembikai dan manggis melalui pemeteraian IA tersebut.
Selain itu, kedua-dua negara turut berjaya memuktamadkan perbincangan Implementing Arrangement on the Recognition of the Equivalence of New Zealand’s Dairy Sanitary Measures Related to Food Safety as They Relate to Trade Between Them di bawah kawal selia pihak Program Keselamatan dan Kesihatan Makanan (PKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada tahun 2024, nilai perdagangan dua hala sektor pertanian antara Malaysia dan New Zealand mencecah RM5.78 juta. Daripada jumlah tersebut, eksport Malaysia direkodkan pada RM1.75 juta merangkumi produk utama seperti makanan haiwan, kopi, koko, produk makanan berasaskan pembuatan dan gula. Sementara itu, import dari New Zealand ke Malaysia terdiri daripada produk tenusu, daging dan pelbagai produk makanan berasaskan pembuatan.
Hadir sama dalam mesyuarat ini adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand PYT Mazita Marzuki, Pegawai KPKM, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
7 OKTOBER 2025
For the news coverage, please visit here
