Mission News

NASIHAT KONSULAR : COVID-19 DI PAKISTAN

18 March 2020 1 views

NASIHAT KONSULAR: PENULARAN WABAK COVID-19 DI PAKISTAN (18 MAC 2020)

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad (STMI) ingin memaklumkan bahawa sebanyak 237 kes positif Covid-19 telah disahkan setakat ini oleh pihak berkuasa Pakistan. Garis panduan, SOP dan maklumat terkini penularan wabak ini di Pakistan boleh diperolehi menerusi laman sesawang https://www.nih.org.pk

 

Lanjutan daripada Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan Malaysia yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac 2020, mana-mana warga negara Malaysia (termasuk pasangan suami/isteri warga asing) yang sedang berada di luar negara adalah dibenarkan untuk pulang ke tanah air dalam tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, individu terbabit dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari di rumah masing-masing sebaik sahaja kembali semula ke tanahair.

 

Warga negara Malaysia yang sedang melawat atau melancong di Pakistan adalah disarankan supaya dapat berhubung dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi memastikan mereka boleh pulang seperti jadual penerbangan yang ditetapkan, ataupun mempertimbangkan untuk kembali lebih awal ke tanah air. Ini adalah mengambil kira kebarangkalian syarikat-syarikat penerbangan pada bila-bila masa membatalkan penerbangan keluar dari Pakistan ke mana-mana destinasi antarabangsa untuk jangka masa yang tidak ditetapkan, serta perintah pihak berkuasa Pakistan pada bila-bila masa untuk melarang penerbangan keluar/masuk ke/dari negara ini.

 

Setakat ini, Malindo Air telah mengesahkan bahawa semua operasi penerbangan antarabangsanya, termasuk sektor Lahore/Kuala Lumpur, digantung sementara dari 18 hingga 31 Mac 2020; manakala Thai Airways turut menggantung penerbangan Karachi- Bangkok sehingga 30 Mac 2020.

 

Sukacita pihak STMI menggesa mana-mana warga negara Malaysia yang berada di Pakistan, sama ada yang bermastautin atau pelancong/pelawat, untuk mendaftar dengan kami menerusi laman sesawang http://bit.ly/MalaysiainPakistan

 

Warga negara Malaysia boleh menghubungi STMI menerusi laman Facebook kami (Malaysia In Pakistan) atau Pegawai Bertugas di talian telefon 923028443021 untuk bantuan konsular.

 

 

Suruhanjaya Tinggi Malaysia
Islamabad

Rabu, 18 Mac 2020

Share:
Link copied to clipboard
Back