Sabtu, 31 Ogos 2024- Kedutaan Besar Malaysia Doha, Qatar telah menghoskan Majlis Sambutan hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67 bertempat di Dewan Kedutaan Besar Malaysia Doha.
Majlis dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang di perkarangan Kedutaan pada jam 6.40 pagi yang melibatkan hampir 70 orang rakyat Malaysia yang bermaustatin di Qatar. Setelah itu, semua hadirin beredar ke Dewan Kedutaan Besar Malaysia Doha bagi meneruskan program seterusnya. Puan Maryam Masyitah Ahmad Termizi, Kuasa Usaha Sementara menyampaikan ucapan ringkas dengan menyeru rakyat Malaysia di luar negara untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara selaras dengan semangat patriotisme. Beliau juga turut memaklumkan, pihak Kedutaan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Qatar telah mengaturkan agar bendera Malaysia dikibarkan di Bangunan the Torch dan Sheraton Hotel. Berdasarkan maklumat yang diterima, paparan akan dimulakan pada 7 petang, 31 Ogos 2024.
Hadirin yang hadir juga terdiri dari komuniti Malaysia yang berbangsa India, Cina, Sikh, Sabah, Sarawak dan juga berada di beberapa daerah seperti Doha, Mesaied, Wakra Jaya, Al-Khor dan Dukhan.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian lagu “31 Ogos” serta “Saya Anak Malaysia” dari adik-adik Kelab Kebudayaan Al-Khor. Para tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah Malaysia seperti Nasi Lemak, Sambal Bilis, Sambal Udang, Sate Ayam, Roti Jala, Kari Ayam,Kuih Seri Muka, Kuih Kaswi, Kuih Lapis, Karipap, Teh Tarik dan Jus Buah-Buahan.
Majlis sambutan Hari Kebangsaan diakhiri dengan acara memotong kek dan sesi fotografi bersama Kuasa Usaha Sementara, HBS , LRS serta komuniti Malaysia di Doha, Qatar. Merdeka! Merdeka ! Merdeka!