KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Selasa berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara di sini.
Mereka ialah duta ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain, duta ke Mexico, Datuk Jamaiyah Mohamed Yusof, duta ke Sudan, Mohd Ashri Muda dan duta ke Oman, Datuk Rustam Yahaya.
Istiadat yang berlangsung kira-kira 30 minit itu dihadiri Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay.
Nazirah, 54, yang merupakan Ketua Pengarah (Perancangan Dasar dan Strategik) di Kementerian Luar, pernah berkhidmat sebagai timbalan pesuruhjaya tinggi di Singapura pada 1999 dan pesuruhjaya tinggi di Sri Lanka pada 2004.
Jamaiyah, 56, anak kelahiran Perak, pernah berkhidmat sebagai penasihat di kedutaan Malaysia di Perancis dan Brazil dan sebagai duta ke Senegal.
Mohd Ashri, 51, berasal dari Kelantan, yang merupakan Ketua Protokol di Kementerian Luar, pernah berkhidmat sebagai penasihat di kedutaan Malaysia di Belgrade, Serbia dan Montenegro.
Rustam, 50, berasal dari Selangor, merupakan Menteri Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sebelum pelantikan baru ini.
Sementara itu, Tuanku Mizan turut berkenan menerima mengadap perpisahan dua duta asing, iaitu Duta Jepun, Masahiko Horie dan Duta Sepanyol, Jose Ramon Baranano.
-- BERNAMA
![]() |
|

