BANTUAN UBAT-UBATAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI KHARTOUM, SUDAN
Lanjutan daripada lawatan pertama Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum (KBM Khartoum) bertarikh 8 April 2020 dan lawatan kedua pada 24 April 2020, KBM Khartoum pada 18 Mei 2020 telah mengadakan lawatan susulan ke rumah-rumah pelajar Malaysia di Sudan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.
Oleh kerana pihak berkuasa Sudan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan sejak 18 April sehingga sekarang, pihak Kedutaan masih terus berhubung dengan pelajar-pelajar melalui Whatsapp dan juga dengan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan (PMMS) dimana beliau akan berkongsi maklumat status kesihatan pelajar-pelajar secara berkala.
Pada lawatan kali ini, KBM Khartoum telah memberikan bantuan berbentuk ubat-ubatan dan supplement seperti ubat demam & selesema, ubat batuk, ubat sakit kepala, ubat sakit tekak dan Vitamin C. Pembelian ubat-ubatan ini adalah hasil sumbangan daripada pegawai Home-Based Staff (HBS) di KBM Khartoum.
Walaupun situasi kritikal akibat penularan wabak Covid 19 yang semakin meruncing di Sudan dan bekalan ubat-ubatan yang semakin terhad tidak menjadi penghalang bagi KBM Khartoum untuk terus menyampaikan perkhidmatan kepada warga Malaysia di Sudan terutamanya para pelajar. Dalam hal ini, pihak KBM Khartoum akan terus sentiasa memantau dan memastikan kebajikan dan kesihatan warga Malaysia di Sudan berada dalam keadaan baik.
Kedutaan Besar Malaysia
Khartoum
18 Mei 2020
