KEPULANGAN PELAJAR MALAYSIA DARI SUDAN
Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum (KBM Khartoum) yang telah diwakili oleh Encik Mohd Faiz Firdaus Kamaruddin, Setiausaha Pertama (P) dan Encik Muhammad Rafeeq Mohd Razali, Setiausaha Ketiga telah memudahcara urusan lima (5) orang pelajar Malaysia di Sudan dalam urusan penerbangan mereka pulang ke Malaysia. Kesemua pelajar pulang ke Malaysia dengan menyertai penerbangan komersial Emirates Airlines. Penerbangan akan berlepas dari Sudan pada 3 Ogos 2020 dan dijangka tiba di Malaysia pada 5 Ogos 2020.
Untuk makluman, pihak Emirates Airlines telah menetapkan polisi baru dimana penumpang yang menaiki pesawat Emirates Airlines daripada negara Sudan diwajibkan untuk melakukan ujian PCR berkuatkuasa 10 Julai 2020. Ujian PCR perlu dilakukan sekurang-kurangnya 4 hari atau 96 jam dan berkeputusan negatif sebelum tarikh penerbangan. Dalam hal ini, 5 orang pelajar Malaysia telah melakukan ujian PCR pada 30 Julai 2020 dan berkeputusan negatif.
KBM Khartoum juga telah menyerahkan bekalan face mask yang diterima daripada Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) kepada semua pelajar yang menyertai penerbangan ini.
Pihak Kedutaan akan terus memberikan bantuan sewajarnya kepada semua pelajar-pelajar Malaysia sepanjang tempoh keberadaan mereka di Sudan.
Kedutaan Besar Malaysia
Khartoum
3 Ogos 2020

