Pada 3 Ogos 2015, Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitiri di Grand Holiday Villa. Rakyat Malaysia yang antara lain terdiri daripada kakitangan Petronas, UN dan pelajar-pelajar telah hadir memeriahkan majlis tersebut. Wakil-wakil dari universiti-universiti tempatan yang berada di Sudan untuk Ekspo Pendidikan turut juga hadir memeriahkan majlis tersebut. Rakan-rakan Malaysia yang terdiri daripada warganegara Sudan juga dijemput ke majlis rumah terbuka ini. Majlis diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia serta juga memperkenalkan budaya dan sambutan perayaan Malaysia kepada warga Sudan. Suasana majlis amat meriah sekali dengan kehadiran rakyat Malaysia serta lagu-lagu raya yang didendangkan untuk menghiburkan pengunjung yang hadir. TYT Mustafa Hj. Mansor, Duta Besar Malaysia ke Sudan juga telah memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis tersebut.