PROSEDUR PENYERAHAN SAMPUL KEUTAMAAN KERTAS UNDI POS
DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, KHARTOUM, REPUBLIK SUDAN
Tarikh: 28 April 2013 (Ahad)
Masa: 9 pagi sehingga 6 petang
Tempat: Aras 1, Canseri Kedutaan Besar Malaysia
Street 3, Al-Amarat, Khartoum, Republik Sudan
1. Hanya warganegara Malaysia sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke dalam perkarangan Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum pada hari Ahad, 28 April 2013. Pengawal keselamatan telah diarahkan untuk memeriksa identiti setiap pengunjung Kedutaan. Mohon agar tuan/puan memberikan kerjasama kepada mereka.
2. Para pengundi yang telah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimohon untuk menyemak Sistem Daftar Pemilih di Laman Web SPR atau di Laman Web PRU13 mengenai maklumat pendaftaran. Laman web SPR ialah www.spr.gov.my manakala Laman Web PRU13 ialah www.pru13.gov.my
3. Para pengundi tidak dibenarkan sama sekali untuk mengambil gambar ataupun membuat rakaman video di dalam Pusat Penyerahan dan Terimaan Kerta Undi Pos di Aras 1, Canseri Kedutaan. Pengambilan Gambar / Video hanya dibenarkan di Aras Bawah (Ground floor) Canseri sahaja.
4. Untuk urusan penyerahan Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos, para pengundi dimohon untuk menunjukkan Passport Antarabangsa Malaysia atau Kad Pengenalan / MyKad sebagai dokumen pengenalan diri. Salinan fotostat passport/Mykad atau dokumen pengenalan diri lain adalah TIDAK DITERIMA SAMA SEKALI.
5. Setelah menerima Sampul Surat Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos, para pengundi diminta untuk memastikan kertas undi tersebut adalah betul dan membuat pengisytiharan identiti dengan mengisi Borang 2 di hadapan saksi.
6. Para pengundi bebas untuk memilih sama ada ingin menandakan kertas undi di tempat yang disediakan atau menandakannya di tempat yang difikirkan sesuai olehnya. Pengundi juga bebas untuk memilih sama ada ingin menggunakan khidmat saksi yang disediakan atau melantik individu lain sebagai saksi.
7. Sekiranya pengundi memilih untuk menggunakan khidmat saksi yang disediakan, pengundi perlu membuka sampul undi pos beliau di hadapan meja saksi. Pengundi juga perlu menyerahkan kertas undi yang belum ditandakan dan Borang 2 untuk disemak oleh saksi. Saksi akan membandingkan nombor siri pada kertas undi, Borang 2 dan Sampul A. Sebelum saksi menandatangani Borang 2, pengundi perlu terlebih dahulu menandatangani Borang 2 tersebut.
8. Setelah Borang 2 disempurnakan, pengundi boleh terus bergerak ke tempat penandaan kertas undi dan menandakan kertas undinya. Setelah kertas undi tersebut ditandakan, pengundi perlu memasukkan kertas undi ke dalam Sampul A dan digamkan. Sampul A dan Borang 2 perlu dimasukkan ke dalam Sampul Keutamaan B dan digamkan. Tatacara ini perlu dilaksanakan bagi kedua-dua kertas undi Parlimen dan Negeri. Sampul Keutamaan B Parlimen dan Negeri kemudiannya perlu dimasukkan ke dalam Karung Undi Pos yang disediakan.
MAKLUMAT-MAKLUMAT LAIN BERKAITAN PROSES UNDI POS DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, KHARTOUM
9. Setakat hari ini, tiada permohonan diterima daripada wakil parti–parti politik yang bertanding untuk menjadi Pemerhati di Kedutaan Besar Malaysia, Khartoum. Setiap permohonan untuk menjadi Pemerhati harus dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya akan mengeluarkan Surat Perlantikan Pemerhati yang perlu dibawa bersama-sama wakil pemerhati ke Pusat Serahan dan Terimaan Sampul Surat Keutamaan Undi Pos.
10. Para pengundi dibenarkan untuk membawa pulang Sampul Surat Keutamaan Undi Pos untuk ditandakan di tempat lain. Walaubagaimanapun, para pengundi adalah diingatkan bahawa Karung Khas Undi Pos di Kedutaan Besar Malaysia, Khartoum akan DITUTUP TEPAT PADA JAM 6 PETANG PADA 28 APRIL 2013 untuk dihantar pulang ke Malaysia menggunakan Beg Diplomatik.
11. Walaupun pusat penyerahan dan penerimaan sampul undi pos telah ditutup, namun pengundi yang masih belum mengundi masih boleh mengambil sampul-sampul undi pos di Kedutaan Besar Malaysia, Khartoum. Namun begitu, para pengundi adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengirim sendiri sampul surat keutamaan berkenaan. Sampul tersebut perlu tiba di Pejabat Pengurus Pilihanraya (Returning Officer) kawasan masing-masing sebelum jam 5 petang pada 5 Mei 2013 bagi membolehkan undi tuan/puan dikira.
Sekian, harap maklum.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menurut perintah,
DEDDY FAISAL AHMAD SALLEH
Ketua Canseri
merangkap Pegawai Yang Bertanggungjawab
di Pusat Serahan Dan Terimaan
Kedutaan Besar Malaysia, Khartoum
26 April 2013