Mission News

MAJLIS TAKLIMAT PROGRAM TALENTCORP

16 April 2012 1 views

1.            Malawakil Taipei telah mengadakan satu majlis taklimat program TalentCorp pada 25 Februari 2012 bertempat di Dewan Yu, Tingkat 6, Hotel Crowne Plaza, Hotel, Kaohsiung, Taiwan. Majlis taklimat tersebut adalah siri pertama daripada beberapa program seranta taklimat TalentCorp yang telah dirancang diadakan di Taiwan yang bertujuan untuk memberi pendedahan maklumat mengenai daya usaha Kerajaan menarik minat golongan profesional rakyat Malaysia yang berbakat besar dan berkemahiran tinggi dan pelajar-pelajar Malaysia untuk pulang menyumbang kepada pembangunan negara di tanahair.


2.            Bandar Kaohsiung, yang merupakan bandar kedua terbesar dan terletak di selatan Taiwan (kira-kira 400 kilometer dari Taipei), dipilih memandangkan terdapat sebilangan besar pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian mereka di beberapa Universiti di Kaohsiung dan bandar berdekatan seperti Tainan dan Pingtung. Terdapat juga sebilangan golongan profesional rakyat Malaysia yang sedang berkhidmat sebagai doktor dan jurutera dengan syarikat-syarikat Taiwan mahupun ahli-ahli perniagaan.

3.            Jumlah kehadiran di dalam majlis taklimat tersebut adalah amat memberangsangkan di mana seramai 202 orang rakyat Malaysia telah hadir berbanding dengan jangkaan 100 orang kehadiran oleh Malawakil sebelum majlis bermula.


4.         Majlis taklimat telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Datuk Yong Teck Shing, Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei yang antara lain menyeru supaya rakyat Malaysia di Taiwan merasa bangga menjadi rakyat Malaysia serta menunjukkan kesungguhan dan ketrampilan diri yang cemerlang semasa bekerja mahupun belajar di Taiwan. YBhg. Datuk Yong juga menggalakkan rakyat Malaysia merebut peluang yang ditawarkan oleh Kerajaan melalui TalentCorp untuk pulang ke Malaysia bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara ke arah pencapaian matlamat negara maju pada tahun 2020. Selepas ucapan Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, para hadirin telah diberi taklimat melalui persembahan powerpoint mengenai program-program TalentCorp dengan tumpuan utama diberikan kepada Returning Expert Program.


Share:
Link copied to clipboard
Back