Bersempena dengan bulan Bahasa Kebangsaan dan sebagai inisiatif Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv untuk mempromosi Bahasa Melayu di Ukraine, satu majlis yang mengumpulkan rakyat Ukraine yang pernah belajar atau bekerja di Malaysia serta boleh berbahasa Melayu telah diadakan di Rumah Malaysia pada 1 November 2016.
Semasa majlis tersebut. para jemputan berpeluang untuk berinteraksi dalam Bahasa Melayu serta menceritakan pengalaman manis mereka di Malaysia. TYT Datuk Ayauf Bachi, Duta Besar Malaysia ke Ukraine juga telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan bentuk-bentuk sastera Melayu seperti pantun, seloka, syair dan cerita lisan. Beliau telah menjemput beberapa tetamu untuk membaca pantun yang dipilih, iaitu bait-bait pantun daripada lagu melayu klasik Gurindam Jiwa. TYT Duta Besar selanjutnya menerangkan bahawa pantun digunakan sebagai bahasa lembut lagi halus dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu.
Majlis tersebut telah berjaya meningkatkan minat para tetamu dari Ukraine untuk mempelajari Bahasa Melayu dengan lebih mendalam dan sekaligus mengetengahkan peranan bahasa kebangsaan dalam mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Ukraine.
| |