Kejohanan Sukan Musim Sejuk Ketiga kawasan wilayah barat Amerika Syarikat telah diadakan pada 15 hingga 17 Februari 2013. Ini merupakan tahun ketiga acara sukan ini dianjurkan. Di kejohanan ini, pihak Education Malaysia Los Angeles (EMLA) telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 200 orang peserta untuk mengambil bahagian di dalam acara-acara sukan yang diadakan seperti bowling, bola tampar, bola keranjang, badminton, futsal dan ping-pong.
Pertama kali juga pelajar-pelajar dari kawasan timur dan tengah Amerika Syarikat dari Michigan, Pennsylvania State, Iowa, Buffalo, Vendy dan Indiana turut serta mengambil bahagian di samping pelajar-pelajar dari Arizona State University dan Colorado School of Mines yang telah memandu selama 24 jam untuk sampai ke Los Angeles, California.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Encik Nekmat Ismail pada 15 Februari 2013, sementara Majlis Penutup oleh YBrs. Dr. Saharudin Haji Ismail, Setiausaha Bahagian, Bahagian Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia pada 17 Februari 2013.
Disamping kejohanan sukan yang diadakan, pemimpin-pemimpin pelajar dan para pelajar juga telah berpeluang berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan menyuarakan isu-isu berkepentingan kepada YBrs. Dr. Saharudin Haji Ismail di dalam pertemuan-pertemuan yang telah diatur oleh pihak EMLA.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memupuk semangat berpasukan dan kerjasama di kalangan pelajar melalui pertandingan yang diadakan. Para peserta bukan sahaja mewakili universiti masing-masing tetapi ada juga yang bergabung di dalam acara-acara yang diadakan. Ini dapat menyemarakkan sifat ingin bersaing secara sihat dalam membentuk identiti pelajar yang beretika dan berdedikasi. Program ini juga dapat menanam sifat kepimpinan di kalangan pelajar dalam menganjurkan kejohanan tersebut dan dapat menghilangkan tekanan disamping merapatkan ukhwah di antara mereka.