Sempena sambutan bulan Kemerdekaan ke-55, Education Malaysia Los Angeles telah menganjurkan pertandingan pidato di kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti dan kolej di sekitar California. Pertandingan tersebut telah diadakan pada 15 September 2012 bertempat di Crowne Plaza Hotel, San Pedro, California. Ianya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pidato dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Peserta-peserta telah diberi tajuk pidato yang berkaitan dengan Kemerdekaan dan 1 Malaysia. Seramai lima orang pelajar telah mengambil bahagian di dalam pidato Bahasa Inggeris dan enam orang lagi telah mengambil bahagian di dalam pidato Bahasa Melayu. Pidato Bahasa Melayu telah dimenangi oleh Cik Hani Sapil dari California Polytechnic Universiti Pomona sementara pidato Bahasa Inggeris telah dimenangi oleh Encik Edika Amir Muhamad Amin dari Los Angeles City College.
Selain dari pertandingan pidato yang telah diadakan pada sebelah pagi, Education Malaysia Los Angeles juga telah mengadakan program kerohanian dan pembangunan sahsiah, dan keusahawanan pada sebelah petang. Program ini diakhiri dengan majlis makan malam dan penyampaian hadiah. Konsul Jeneral Malaysia Encik Nekmat Ismail dan semua pegawai-pegawai HBS dari MATRADE, MIDA dan Tourism Malaysia Los Angeles telah turut hadir di majlis tersebut.