MANHATTAN, NEW YORK : Pada 31 Januari 2019, Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) di New York telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York. Lawatan tersebut telah disertai oleh 19 orang ahli-ahli PERWAKILAN New York yang terdiri daripada isteri-isteri kakitangan HBS dan juga ahli-ahli bersekutu yang lain di New York.
Program lawatan ini telah dimulakan dengan ucapan aluan ringkas oleh Konsul Jeneral, Encik Jeremiah Oliver Jitos dan diikuti dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Konsul, Encik Tham Whye Long serta Konsul (Imigresen) Encik Andinor Anuar.
Sesi taklimat yang telah diberikan merangkumi perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Konsulat seperti pendaftaran perkahwinan, pendaftaran kelahiran, laporan kematian, permohonan dan pembaharuan passport, pengesahan dokumen serta perkongsian mengenai kes-kes konsular yang berlaku di sekitar New York dan negeri-negeri lain.
Matlamat utama lawatan sambil belajar ini adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada ahli-ahli PERWAKILAN berkenaan fungsi dan tanggungjawab Konsulat Jeneral Malaysia di New York.