PRESS RELEASE : LAWATAN KERJA YB. DATO’SRI ANIFAH AMAN, MENTERI LUAR NEGERI KE NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT 28 JULAI 2016, KHAMIS (MALAY VERSION ONLY)
UNTUK SIARAN SERTA MERTA
LAWATAN KERJA YB. DATO’SRI ANIFAH AMAN, MENTERI LUAR NEGERI
KE NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT
28 JULAI 2016, KHAMIS
YB Dato' Sri Anifah Haji Aman, Menteri Luar Negeri Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke New York pada 28 Julai 2016 untuk menghadiri sesi Debat Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai "Pembinaan Keamanan di Afrika". Mesyuarat peringkat Menteri ini adalah sebahagian daripada agenda Majlis Keselamatan mengenai "Pembinaan dan Pemeliharaan Keamanan".
Debat Terbuka tersebut merupakan mesyuarat pertama Majlis Keselamatan yang secara khusus memberi tumpuan kepada pembinaan keamanan di Afrika. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh TYT Fumio Kishida, Menteri Luar Negeri Jepun, selaku Pengerusi Majlis Keselamatan PBB bagi bulan Julai 2016. Amerika Syarikat, Angola, Perancis dan Senegal turut diwakili di peringkat menteri.
Dalam kenyataan beliau di sesi tersebut, YB Menteri Luar Negeri menekankan perlunya tumpuan kukuh ke atas pembangunan institusi dan dasar pemilikan kebangsaan untuk menyumbang kepada agenda yang mapan. Beliau juga telah mengetengahkan komitmen Malaysia dalam menyumbang kepada keamanan dan keselamatan Afrika, kestabilan politik, dan pertumbuhan ekonomi melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).
Sesi Debat Terbuka tersebut telah menghasilkan satu Kenyataan Presiden yang menggariskan pentingnya pembangunan institusi sebagai salah satu usaha jangka masa panjang pembinaan keamanan serta perlunya peranan pertubuhan serantau dalam mengekalkan keamanan di Afrika.
YB Menteri Luar Negeri turut mengadakan satu mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Negeri Jepun untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. YB Menteri juga telah bertemu dengan calon-calon Setiausaha Agung PBB iaitu Helen Clark dari New Zealand, dan Vuk Jeremi? dari Republik Serbia. Selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, Malaysia akan mengambil bahagian dalam pemilihan Setiausaha Agung PBB baru yang akan dibuat pada akhir tahun ini.
Malaysia akan mengambil alih kepengerusian Majlis Keselamatan PBB dari Jepun pada bulan Ogos 2016. Malaysia akan menyumbang secara membina dalam meneruskan usaha-usaha Majlis Keselamatan ke arah mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
PUTRAJAYA
29 JULAI 2016