SIARAN AKHBAR: JAWAPAN KEMENTERIAN LUAR NEGERI TERHADAP ARTIKEL ‘MANGSA KELDAI DADAH TERKANDAS DI PERU MAHU PULANG’
Jawapan Kementerian Luar Negeri terhadap artikel
‘Mangsa Keldai Dadah terkandas di Peru mahu pulang’
Kementerian Luar Negeri merujuk kepada artikel “Wanita Malaysia bekas keldai dadah rayu dibawa pulang” (Berita Harian, 22 November 2016). Fakta-fakta yang diutarakan dalam temu bual tersebut tidak tepat dan langsung tidak mencerminkan situasi sebenar permasalahan tersebut.
Cik Shyzlin binti Hathaman, 42 tahun, telah ditahan pada 19 Mei 2010 di Jorge Chaves International Airport Peru atas kesalahan membawa dan cubaan menyelup dadah kokain seberat 2.590 kg. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun 8 bulan dan denda 5000 sol (RM6,460) bermula 17 September 2010. Tempoh hukuman ini dijadual akan tamat hanya pada bulan Mei 2017.
Walau bagaimanapun, setelah menjalani kira-kira 2/3 daripada tempoh hukuman tersebut, pada 25 Julai 2014, Mahkamah Peru telah memberi status Semi Libertad (Separa Bebas) di mana pesalah dibenarkan menjalani hukuman di luar kawasan penjara, dengan kebenaran pihak berkuasa. Dalam keadaan ini, pesalah akan dikenakan syarat-syarat tertentu termasuk melapor diri kepada pihak berkuasa secara berkala. Status Semi Libertad ini diperkenalkan untuk membantu pesalah-pesalah dalam mencari pekerjaan dan menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila mereka dibebaskan sepenuhnya nanti. Dalam hal ini, Cik Shyzlin bukanlah orang yang terkandas, tetapi masih lagi menjalani tempoh hukuman dalam sistem penal Peru.
Kakitangan dan keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru, kerapkali melawat mangsa bagi menghulurkan bantuan peribadi untuk meringankan beban mangsa yang menghidap penyakit kencing manis.
Seperti mana dengan warga Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa tempatan, Kedutaan Besar sedang berusaha untuk memastikan urusan pembebasan Cik Shyzlin binti Hathaman berjalan dengan lancar apabila tiba masanya kelak.
Kementerian Luar Negeri ingin menekankan di sini bahawa urusan pembebasan dan deportasi banduan adalah tertakluk kepada undang-undang negara tersebut dan hendaklah dihormati sebagai sebuah negara berdaulat.
Kementerian Luar Negeri amat kesal bahawa temu bual yang dibuat tersebut tidak disahihkan dulu faktanya. Kedutaan-kedutaan Malaysia sentiasa prihatin dengan masalah warganegara Malaysia dan Kementerian berharap Berita Harian akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan laporan tidak berasas seperti ini.
PUTRAJAYA
23 November 2016