SITUASI TERKINI DI SUDAN SELATAN
SITUASI TERKINI DI SUDAN SELATAN
Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, sedang memantau rapat situasi keselamatan yang semakin merosot di Sudan Selatan berikutan konflik bersenjata yang berterusan dan peningkatan ancaman keselamatan di negara tersebut.
Rekod Suruhanjaya Tinggi menunjukkan terdapat 55 warganegara Malaysia di Sudan Selatan. Selain itu, seramai 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berkhidmat dalam misi United Nations Police (UNPOL) di sini, dan kesemua mereka dilaporkan selamat. Kedutaan juga terus berkomunikasi dengan pihak UNPOL bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pegawai PDRM yang sedang bertugas di negara tersebut. Semua penugasan dan penempatan anggota UNPOL di Sudan Selatan akan terus diselaraskan oleh UNPOL.
Memandangkan situasi di Sudan Selatan yang semakin meruncing dan sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian menasihatkan semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan supaya berwaspada serta memberikan keutamaan kepada keselamatan diri. Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam.
Kementerian juga menasihatkan supaya semua perjalanan ke Sudan Selatan ditangguhkan buat masa ini kerana situasi yang tidak menentu di negara tersebut.
Semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan dimohon untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya. Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. Sekiranya terdapat warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, sila hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya di butiran berikut:
SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI NAIROBI, KENYA
Alamat: 611, Runda Grove, Runda, P.O. Box 42286-00100, Nairobi
Nombor telefon: +254 111 052710 (office)
+254 741 603952 / +254 704 770367 (mobile)
Emel: mwnairobi@kln.gov.my
PUTRAJAYA
20 Mac 2025