8 Oktober 2009, Dubai - Rumah Terbuka Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah diadakan pada 8 Oktober 2009 di Rumah Malaysia. Majlis bermula jam 8 malam dan dihadiri seramai kira-kita 1000 rakyat Malaysia di Dubai. Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Tuan Syed Mohamad Hasrin Aidid dan isteri, Puan Sarah Al Bakri Devadason bersama - sama pegawai dan kakitangan Konsulat kelihatan sibuk menerima dan melayan tetamu yang datang.
Pelbagai juadah disediakan oleh ahli-ahli Perwakilan Dubai seperti sate, nasi himpit, lemang, soto, rendang ayam termasuk kuih-muih tradisional seperti kueh lompang, apam, karipap dan kuih lapis memenuhi meja hidangan. Malah beberapa hadirin turut membawa juadah untuk dikongsi bersama.
Para hadirin mula datang sejak jam 7.30 malam sungguhpun majlis bermula jam 8 malam. Pelbagai lapisan masyarakat baik yang tua dan muda dari semua bangsa dan agama segak berpakaian baju kebangsaan dan kasual memenuhi laman Rumah Malaysia di Barsha 2, Dubai. Beberapa tetamu asing di kalangan para diplomat serta ahli akademik turut menyerikan majlis tersebut.
Sambil mejamu selera para hadirin dihiburkan lagu-lagu raya. Sedikit kelainan dari tahun lepas, majlis juga turut dihiburkan oleh persembahan tarian tradisional oleh kanak-kanak para pegawai dan kakitangan serta beberapa rakyat Malaysia yang bermastautin di Dubai.
Selain menikmati juadah Malaysia, majlis telah berjaya merapatkan lagi tali persahabatan di antara masyarakat Malaysia di Dubai dan juga emiriah-emiriah yang lain. Ada di kalangan para tetamu datang dari emiriah Abu Dhabi, Ajman, Sharjah dan Ras Al Khaimah.
Majlis berakhir sekitar jam 12 tengah malam setelah tetamu terakhir meninggalkan Rumah Malaysia.
Malawakil Dubai, 11 Oktober 2009
Foto: Ihsan Fidawati dan Abdul Mazed