Mission News

Anak diplomat Malaysia antara wajah masa depan Victoria - Berita Harian

01 January 2014 1 views

 

MELBOURNE: Akhbar The Herald Sun mamaparkan anak konsul jeneral Malaysia di sini sebagai wajah masa depan Victoria, Australia.

Rizmi Rameez, 9, beserta sembilan lagi remaja daripada 10 warga negara yang biasa terdapat di negeri Victoria, dipapar di muka hadapan akhbar itu sebagai menandakan Hari Tahun Baharu.

"Kebanyakannya lahir di luar negara dan menganggap Australia sebagai rumah mereka. Yang lain adalah penghijrah, bersyukur dengan keputusan ibu bapa mereka sebelum mereka.

"Kebanyakannya telah tinggal di beberapa negara di seluruh dunia dan berkata ia membantu mereka menghargai apa yang negara Down Under tawarkan kepada mereka," kata Herald Sun.

Rizmi yang dilahir di Timor Leste ketika bapanya, Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya berkhidmat di Dili memberitahu akhbar itu, berjumpa dengan orang dari seluruh dunia adalah perkara terbaik tinggal di Melbourne.

Ditanya apa perubahan yang mahu dilihatnya di Australia, Rizmi yang belajar di Canterbury Primary School di sini berkata: "Saya tidak mahu menukar apa-apa di Australia kerana terdapat pelbagai orang dari pelbagai negara dari seluruh dunia. Dan orang ini baik dan mesra."

Mohd Rameez, bapa kepada enam orang anak berkhidmat di sini pada Jun 2011.

Menurut akhbar itu, mereka yang lahir di UK adalah peratusan terbesar (4 peratus) daripada penduduk Victoria kelahiran luar negara, diikuti yang lahir di India (2.1 peratus), China (1.8 peratus), New Zealand (1.5 peratus), Itali (1.4 peratus), Vietnam (1.3 peratus), Greece (0.9 peratus), Sri Lanka (0.8 peratus) dan Malaysia (0.7 peratus).

 

Melbourne adalah rumah kepada masyarakat lebih daripada 140 negara. - BERNAMA

 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AnakdiplomatMalaysiaantarawajahmasadepanVictoria/Article/?bh

Share:
Link copied to clipboard
Back