MELBOURNE, 29 Jun (Bernama) -- Malaysia dijangka meningkatkan usahanya untuk mencari peluang perdagangan baharu di Australia berikutan penandatanganan perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Dr Wong Lai Sum di sini Khamis.
Wong, yang mengadakan pertemuan dengan para peneraju perniagaan dan korporat di sini, berkata beberapa industri di Australia menawarkan syarikat Malaysia peluang untuk menyumberkan pasaran.
"Sektor bangunan dan pembinaan di Australia adalah pasaran lumayan dan memerlukan banyak produk yang kami boleh bekalkan, terutama sekali ke bandar-bandar perlombongan yang kaya di negeri Australia Barat, Queensland dan Australia Selatan.
"Penandatanganan MAFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia Australia) akan memudahkan syarikat kami meneroka ke dalam pasaran Australia," katanya.
Wong, yang ditemani oleh Pengarah Matrade Ong Yew Chee, berkata aliran bersilang pelaburan akan membuka pintu kepada liberalisasi antara kedua-dua negara.
Katanya MAFTA akan menyaksikan lebih banyak kepentingan Australia di Malaysia di dalam bidang perbankan dan kewangan, undang-undang, khidmat perundingan perniagaan, arkitektur dan insurans.
Wong, yang turut melawat ekspo perdagangan reka bentuk bangunan utama Australia DesignBUILD 2012, yang turut disertai tujuh syarikat Malaysia, berkata beliau tertarik dengan sokongan dari Konsul Jeneral Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya.
Rameez, seorang anggota kehormat Majlis Perniagaan Australia Malaysia (AMBC) Cawangan Victoria, berkata dengan ketiadaan wakil Matrade di sini, konsulatnya bersedia memberikan bantuan terhadap sebarang pertanyaan perdagangan dua hala.
MAFTA menjamin kemasukan bebas tarif bagi 97.6 peratus daripada eksport barangan semasa. Ini akan meningkat kepada 99 peratus menjelang 2017.
Pada ekspo tiga hari itu, yang berakhir di sini pada Jumaat, lebih 250 pembekal utama telah mempamerkan pelbagai bahan binaan, dari perancangan kepada pasca pembinaan, yang termasuk kemajuan di dalam teknologi reka bentuk yang mampan.
-- BERNAMA