For your kind info on Fiesta Malaysia 2015
{C}{C}{C}
Lebih 26,000 Kunjungi Pesta Malaysia Melbourne - Oleh Neville D'Cruz
MELBOURNE, 10 Mei (Bernama) -- Lebih 26,000 pengunjung tertawan oleh pelbagai hidangan istimewa dan kepelbagaian budaya yang dipersembahkan untuk mereka di Pesta Malaysia di sini, Sabtu.
Bertempat di venue ikonik, Federation Square, dan dianjurkan Majlis Pelajar Malaysia Australia Cawangan Victoria, pesta itu dimeriahi dengan persembahan Joget Melayu serta tarian singa dan Bollywood, di samping nyanyian lagu-lagu dan tarian Peranakan Baba Nyonya amat istimewa oleh sekumpulan warga emas rakyat Malaysia yang menetap di sini.
Penyanyi popular Malaysia, Elizabeth Tan, yang dibawa khas untuk mengadakan persembahan di pesta itu, mendapat sambutan hangat daripada hadirin apabila mereka turut menyanyi bersamanya ketika mempersembahkan beberapa lagu.
Hadirin juga terpukau oleh aroma daripada 21 gerai yang menyajikan pelbagai masakan terkenal Malaysia.
Kesudian konsul jeneral Malaysia Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya untuk menyertai pertandingan makan durian pada pesta itu menambah keceriaan para pelajar Malaysia.
Mohd Rameez, yang merasmikan pesta itu bersama timbalan datuk bandar Melbourne Susan Riley, berkata rakyat Malaysia "amat mudah menyesuaikan diri, menghormati dan mudah bertolak ansur dengan pelbagai kepercayaan dan agama kerana telah sekian lama hidup bersama dengan harmoni dan aman."
Beliau meminta para pelajar memainkan peranan sebagai duta muda Malaysia dan "mengharumkan nama negara kita".
Pengarah bersama projek pesta itu, Mohd Hasif-Ifran Shamsir Adlan memberitahu Bernama bahawa pesta kali ini lebih meriah daripada tahun lepas yang dihadiri kira-kira 23,000 pengunjung.
"Semua persembahan mendapat sambutan baik, manakala jualan di gerai makanan pula sungguh laris dan para penaja memberi sokongan padu," katanya.
Ketua pegawai eksekutif SP Setia, Melbourne, Choong Kai Wai berkata pihaknya gembira kerana turut menjadi penaja pesta itu.
"Ia diadakan hasil usaha pelajar dan kita perlu sentiasa memberi galakan kepada para belia kita," katnya.
Pengarah Tourism Malaysia Sydney Roslan Abdullah pula berharap acara itu dapat menarik minat rakyat Australia untuk melawat Malaysia.
"Pesta ini merupakan iklan yang amat berkesan bagi Malaysia dan para pelajar telah melaksanakan suatu tugas yang amat baik di sini," katanya.
– BERNAMA