MELBOURNE - Presiden Majlis Perniagaan Australia Malaysia, Victoria, (AMBC Vic) yang baru dilantik, Joe Perri, berikrar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Perri, pakar runding perniagaan berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia Australia (MAFTA) akan menyediakan banyak peluang bagi ketua perniagaan dan profesional untuk meningkatkan profil mereka di Malaysia dan meraih faedah yang ditawarkan daripada inisiatif seumpama itu.
"Pegawai perdagangan kerajaan Malaysia telah melawat Australia untuk berbincang mengenai peluang yang tersedia dan skop MAFTA dalam hubungan dua hala," kata Perri.
Beliau berkata AMBC bertuah kerana ia mendapat sokongan daripada kumpulan Jabatan Perniagaan dan Inovasi Kerajaan Negeri Victoria di sini dan di Kuala Lumpur.
Perri berkata beliau gembira dengan sokongan yang diberikan oleh Konsul Besar Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya, yang telah dilantik sebagai ahli kehormat AMBC.
"Kami gembira apabila Kerajaan Malaysia membuka konsulat di sini lebih setahun lalu dan ini akan memudahkan lagi hubungan dua hala kita," katanya.
Perri berkata majlisnya akan bekerjasama rapat dengan para pegawai daripada Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) yang berpangkalan di Sydney.
Satu lagi matlamatnya adalah mempromosikan perniagaan, kepakaran dan latar belakang syarikat ahli menerusi "AMBC Victoria Directory".
Perri juga mahu meningkatkan keahlian majlis dengan menguar-uarkan tentang faedahnya dan hakikat bahawa menjalankan perniagaan di Malaysia akan menyediakan pintu masuk ke Asia.
Jawatankuasa eksekutif baharu terdiri daripada Presiden Joe Perri; Bendahari, Trevor Hains; Setiausaha, Anita Kilkenny; ahli-ahli, Juris Austrums, James Liew, Lee Aik Sern, Andy Lau, Raj Thanarajah dan James Fabris. - Bernama